KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan dan membuat tangkapan ke atas tiga pegawai kanannya di sekitar Jalan Tun Razak di sini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata, tangkapan itu membabitkan pegawai kanan berpangkat ACP, DSP dan Inspektor berumur lingkungan 38 hingga 50 tahun.
Katanya, ketiga mereka ditangkap bagi membantu siasatan berhubung satu laporan mengenai kes pemerasan berjumlah RM1.25 juta.
“Siasatan awal mendapati semua suspek menafikan penglibatan dalam kes itu.
“Namun, permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Keseksaan Tatacara Jenayah akan dibuat hari ini, 4 Mei 2024,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Undang-Undang / Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Katanya, mengikut seksyen itu, barang siapa melakukan pemerasan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau dengan denda, atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
“Kes masih di peringkat siasatan dan kita menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
“Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan giat mengumpulkan maklumat risikan serta bukti secukupnya bagi memastikan semua yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252