BERITA UTAMA

Penutupan KFC: Mari Berkongsi Keperitan

Oleh Muhammad Fauzi Asmuni

BERITA penutupan 108 cawangan KFC saya sambut dengan perasaan bercampur baur. Ada kegembiraan kerana nampaknya rakyat Malaysia makin menolak produk yang ada kaitan dengan AS.

Ada sedikit rasa kurang selesa kerana penutupan itu sudah tentu menyebabkan ramai pekerjanya dari rakyat negara ini yang majoritinya orang Melayu Islam akan hilang pekerjaan.

Dengan suasana ekonomi yang meruncing sekarang, sudah tentu kehilangan pekerjaan adalah satu yang sukar buat mereka semua.

Tapi, begitulah harga perjuangan yang kita perlu tanggung jika kita serius ingin terlibat merasai sekali keperitan saudara kita di Palestin dan terlibat dalam mengaut pahala jihad bersama mereka.

Tidak ada siapa yang boleh menafikan boikot memberi kesan kepada Israel dan pembela kuatnya iaitu AS. Mereka perlukan bantuan kewangan yang banyak untuk membunuh rakyat Palestin. Setiap sen yang berjaya dihalang dari sampai ke Israel adalah rahmat dan keringanan kepada warga Palestin. Sen dan ringgit yang berjaya dihalang akan memeritkan Israel … dan itu adalah jihad kerana ia termasuk di dalam menjejak tempat yang menimbulkan kemarahan musuh.

Firman Allah:

“…. demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh – melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka (pahala) amal yang soleh…” (At Taubah: 120)

Palestin tidak akan merdeka selagi umat keseluruhannya tidak merasai keperitan yang dirasai oleh warganya.

Mereka di sana syahid, kehilangan keluarga, kehilangan rumah, tiada makanan, tiada rawatan, tidak cukup tidur, sentiasa kebimbangan, air mata sentiasa mengalir, masa depan masih kelam dan segala macam kesengsaraan yang sukar untuk kita gambarkan.

Jika keperitan itu tidak ditanggung seorang sedikit oleh umat yang lain secara kolektif, bagaimana mampu Israel yang dibangun dan dipertahankan oleh sekutu mereka dari seluruh dunia akan jatuh?

Ketika saya dan rakan-rakan dari GSPP bertemu dengan pengurusan McDonald, kami nyatakan bahawa kami yakin bahawa hati dan jiwa pengurusan McDonald bersama Palestin.

Kepada pengurusan dan pekerja KFC, saya nyatakan perkara yang sama; jiwa dan hati anda semua saya yakin bersama Palestin. Jadi marilah kita sama-sama melakukan sesuatu untuk Palestin dan bersama menanggung keperitan itu.

Saya yakin ada banyak alternatif yang boleh dilakukan oleh pengurusan dan pekerja KFC berdepan suasana ini. Di mana ada kemahuan, di situ sudah pasti ada jalan.

Kepada rakyat Malaysia, saya syorkan agar tidak menjadikan isu boikot ini sebagai faktor perpecahan kita. Tidak perlu memprovokasi. Tidak perlu mengejek dan menyindir.

Jika ada cadangan yang lebih baik bagaimana isu boikot ini dapat dikurangkan mudaratnya kepada warga Malaysia, cadang dan bincangkanlah dengan baik melalui saluran yang betul.

Amat rugi jika gerak kerja boikot yang disambut baik dan menyatukan sebahagian warga Barat, tetapi di negara kita ianya menjadi faktor perpecahan. – Nasionaldaily

Penulis, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni adalah Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *