KOTA KINABALU – Sabah FC kini hanya berdepan tunggakan gaji pemain untuk satu bulan setelah usaha dilakukan secara tuntas untuk menyelesaikan masalah pembayaran sejak tahun lepas, kata Pengarahnya, Mohd Joh Wid.
Beliau berkata, Sabah juga sedang aktif melakukan secara berperingkat beberapa pembayaran seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain berdepan masalah sama untuk pasukan bawah 23 dan 18 tahun.
“Masalah tunggakan gaji sejak tahun lepas itu kita sudah selesaikan, untuk pasukan bawah 23 tahun dan mereka baru sahaja menandatangani kontrak bulan lepas dan gaji pertama akan dibayar dalam masa terdekat.
“Bagi pasukan senior gaji satu bulan sudah dibayar baru-baru ini, namun ada satu bulan lagi baki dan kita sedang usahakan untuk membayar baki berkenaan,” katanya kepada pada sidang media di Stadium Likas di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohd Joh berkata, walaupun berhadapan hutang lain seperti pembayaran sewa dan sebagainya ia tidak menjejaskan persediaan pasukan Sabah FC untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2024/2025 yang akan bermula 10 Mei ini.
“Sabah FC memang mempunyai hutang yang besar, namun segala hutang yang boleh menjejaskan proses perlesenan dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah dijelaskan dan MFL telah memberikan kita kelonggaran mengenai perkara berkenaan,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai pemain baharu Sabah FC, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum mempunyai perancangan untuk mengambil pemain baharu.
“Kita akan fikirkan perkara itu selepas keadaan kewangan kita semakin baik kerana kini kita sedang mencari penaja,” katanya.
Mengenai pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC yang baharu, Mohd Joh berkata, belum ada keputusan mengenai perkara itu.
“Saya yang akan menjalankan tugas CEO sementara kekosongan jawatan itu dan kita berharap dapat diisi dalam masa terdekat,” katanya. – BERNAMA
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!