KUALA LUMPUR – Majoriti 191 Ketua Bahagian UMNO bersetuju Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit tambahan menyokong petisyen Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau menularkan perkara itu dalam kumpulan WhatsApp Ketua UMNO Bahagian serta MKT yang kemudian menerima banyak komen positif terhadap usaha itu.
“Jadi, saya anggap UMNO di bawah sana menyokong usaha Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO bagi membantu semaksimum boleh kepada bekas Perdana Menteri, Najib yang banyak berjasa kepada negara sejak berumur 23 tahun.
“Jangan hanya dilihat sembilan tahun sebagai Perdana Menteri, beliau sebelum itu pernah menyandang timbalan perdana menteri, menteri, menteri besar dan timbalan menteri,” katanya mengulas sokongan UMNO terhadap pembelaan ke atas Najib.
Ahmad ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Perladangan dan Komoditi di pekarangan pintu gerbang Kampung Bharu, di sini semalam.
Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan Ahmad Zahid mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Katanya, Ahmad Zahid berjanji untuk membantu Najib yang tidak diberi keadilan seadilnya ketika kes SRC International Sdn Bhd berjalan.
“Ahmad Zahid pasti tahu implikasi (terhadap usaha dilakukan) kerana ia melibatkan perakuan sumpah yang ada cop Pesuruhjaya Sumpah.
“Sudah pasti Ahmad Zahid mengetahui apa yang beliau sebut itu perkara benar. Jadi, pimpinan UMNO berpegang kepada itu, menyokong penuh serta berharap usaha tersebut berjaya,” katanya. – ND
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!