TUARAN – Seramai 60 penuntut peringkat institut pengajian tinggi (IPT) dalam kawasan Parlimen ini diberikan bantuan awal pengajian bagi membolehkan mereka melanjutkan usaha menuntut ilmu.
Bantuan sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran itu diberikan khusus kepada penuntut dari keluarga B40 untuk meringankan beban membeli peralatan untuk pengajian.
Menurut Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, pihaknya berterima kasih kepada YBR kerana prihatin dengan permasalahan dihadapi anak keluarga B40 dalam meneruskan pengajian di peringkat menara gading.
“Bantuan ini sebagai menyediakan sumber kewangan kepada penerima yang layak bagi permulaan memulakan pengajian semester dan dapat menyediakan peralatan yang diperlukan.
“Melihat kepada situasi ini, seramai 60 penuntut telah mendapat perhatian YBR untuk disalurkan bantuan supaya mereka dapat meneruskan pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan Bantuan Awal Pengajian YBR di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Menurut Wilfred, YBR telah menyumbangkan bantuan kepada penuntut dalam kawasan parlimen untuk tempoh dua tahun berturut-turut.
“Sebagai pemimpin kawasan ini, saya amat terharu dan mengucapkan terima kasih kepada YBR.
“Saya amat berharap usaha ini dapat dikekalkan kerana masih ramai anak keluarga B40 yang berjaya dalam pelajaran memerlukan bantuan untuk terus belajar dan sekurang-kurangnya mengurangkan bebanan kewangan keluarga mereka.
Sementara itu, dalam majlis itu Philip Benedict turut berucap dengan memaklumkan, bantuan tunai dari YBR itu adalah inisiatif bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat miskin.
Katanya, kehidupan mereka terutama yang tinggal di kawasan pedalaman tersepit akibat kemelesetan ekonomi yang menyaksikan kos sara hidup semakin mencengkam kehidupan.
“Bagi meneruskan usaha dalam menyediakan penuntut dan anak muda akses pendidikan berkualiti, inisiatif ini diharapkan dapat membantu lebih ramai lagi golongan berkenaan untuk meneruskan pengajian ke peringkat IPT.
“Bantuan ini dapat menaikkan semangat kepada mereka untuk belajar lebih tekun sehingga mencapai kejayaan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata, Parlimen Tuaran antara sembilan daerah termiskin di Malaysia dan dengan adanya bantuan awal pengajian ini dapatkan memberi sedikit cahaya kepada ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan pembelajaran anak mereka.
Untuk makluman, katanya, sepanjang tahun lalu, seramai 3,580 penuntut telah menerima manfaat bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan disediakan berjumlah RM2.29 juta. – NasionalDaily
Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!