BERITA UTAMA

Anwar ucap takziah, simpati tiga anak, empat cucu pemimpin kanan Hamas terkorban

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh atas berita kematian tiga anak dan empat cucunya yang terkorban dalam serangan udara oleh rejim ganas zionis semalam.

Beliau menyampaikan ucapan rasa sedih dan simpati dengan menghubungi Ismail petang ini.

“Saya telah menghubungi sahabat saya dan juga pemimpin utama gerakan Hamas Ismail Haniyeh petang tadi bagi menyampaikan takziah atas berita yang begitu mendukacitakan tatkala tiga anaknya yakni Hazem, Amir dan Mohammad termasuk empat cucu yang terkorban dalam serangan udara oleh rejim ganas zionis semalam.

“Saya mewakili seluruh rakyat Malaysia menyatakan solidariti yang tidak berbelah bahagi dan semangat kebersamaan yang tinggi bersama keluarga Ismail serta seluruh rakyat Palestin yang telah kehilangan keluarga tersayang.

“Kehilangan nyawa insan yang tidak berdosa, terutamanya kanak-kanak dalam suasana cukup tragik ini adalah amat sukar diterima oleh mana-mana manusia,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Media melaporkan, tiga anak dan tiga cucu pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh mati syahid dalam serangan udara tentera Israel.

Perkara itu disahkan Ismail Haniyeh kepada Al Jazeera pada Rabu.

Tiga anak lelaki beliau yang terkorban ialah Hazen Haniyeh, Amir Haniyeh dan Muhammad Haniyeh.

Sementara tiga cucu Ismail pula dikenali sebagai Amal iaitu anak kepada Hazem sementara Khaled dan Razan merupakan anak Amir.

Beliau memberitahu, semua mangsa terkorban ketika menaiki kereta untuk melawat saudara mara mereka di kem pelarian Al-Shati di utara Gaza, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Anwar, Malaysia menzahirkan kecaman dan kutukan sekeras-kerasnya ke atas rejim biadab zionis Israel yang berterusan melakukan genosid kebencian ke atas warga Palestin.

Serangan jijik rejim zionis ini membuktikan mereka tidak mempunyai keinginan melakukan gencatan senjata seperti yang telah dituntut Majlis Keselamatan PBB tempoh hari dan tidak tunduk serta patuh kepada prinsip hukum dan undang-undang antarabangsa.

Tegasnya, serangan kurang ajar oleh rejim pengecut zionis Israel ini hanya melenyapkan sebarang harapan ke arah penyelesaian secara aman dengan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia terus diinjak tanpa noktah.

“Malaysia sekali lagi mendesak keras komuniti antarabangsa untuk bertindak tegas dan mempertanggungjawabkan rejim zionis Israel atas kezaliman ini dan mesti bekerja untuk menjelmakan keamanan buat rakyat Palestin yang telah secara konsisten dinafikan sejak 75 tahun lampau,” katanya. – NasionalDaily

Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com. Email kami admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *