BERITA UTAMA

Jangan boikot bazar Ramadan, boikot peniaga jual makanan basi

SELAMAT berpuasa Pak Dee ucapkan. Belum terlambat untuk buat ucapan kepada pembaca NasionalDaily, kerana puasa baru masuk hari keempat.

Dan, hari keempat puasa juga sudah riuh pasal makanan basi, lauk berulat dan air yang dijual di bazar-bazar Ramadan sudah berbau masam.

Bab puasa ni, Pak Dee sejak dulu sampai sekarang tak pernah terbeli makanan basi, lauk berulat mahupun air sudah masam, sebab Pak Dee tak pernah beli di bazar Ramadan.

Hari-hari sepanjang 29 atau 30 hari puasa, Pak Dee masak sendiri je. Paling simple Pak Dee goreng nasi dengan cili boo, campak udang atau kerang. Masa berbuka makan nasi goreng berulamkan timun cicah budu. Lebih sedap dan lebih menyelerakan dari beli di bazar Ramadan.

Setiap kali tiba Ramadan, Pak Dee selalu ingatkan dan pesan pada saudara mara, kawan taulan, sahabat handai, jangan beli makanan atau minuman di bazar Ramadan.

Hari pertama okay lagi, semua makanan dan minuman fresh-fresh, masuk hari kedua dah rasa maung (makanan dah mula rasa macam basi). Apa tidaknya, makanan yang tak habis dijual pada puasa pertama, dicampur dengan masakan baharu pada hari kedua. Kemudian bila yang basi campur dengan yang baharu hari kedua tak habis, dicampur lagi dengan masakan baharu pada hari ketiga, maka lain macam lah makanan atau minuman tu.

Bayangkan, segala bakteria dan kuman pada sisa makanan hari pertama dan hari kedua dijual pada hari ketiga. Mahu tak sakit perut. Bila sakit perut dan termakan makanan basi, minuman masam, mulalah viral di media sosial.

Dalam bab ni, Pak Dee tak tahu nak salahkan siapa. Pak Dee percaya semua pelanggan yang berkunjung ke bazar Ramadan, matanya okay, hidungnya okay dan telinganya pun okay.

Bila semua okay, mustahil masa mereka beli makanan dan minuman tu tak dapat lihat keadaan makanan tu atau tak dapat hidu baunya. Begitu juga ada telinga, tapi tak nak dengar nasihat orang supaya jangan beli di bazar Ramadan.

Biasanya, peniaga makanan dan minuman di bazar Ramadan ni 90 peratus adalah muka baru, bukan peniaga yang sudah lama berniaga. Peniaga baru biasanya meniaga nak kaut untung, mereka tak ambil berat pun soal kualiti makanan dan minuman. Janji makanan dan minuman mereka laku.

Peniaga lama meniaga kerana nak jaga imej mereka, sebab selepas raya, mereka akan teruskan berniaga dan perlu jaga hati pelanggan. Peniaga baru, habis sebulan Ramadan, mereka bungkus segala alat-alat untuk digunakan pada Ramadan akan datang. Tak ada pelanggan tetap pun mereka tak kisah, sebab pelanggan mereka sentiasa orang baharu.

Sebab itu Pak Dee selalu pesan, jangan beli makanan dan minuman di bazar Ramadan. Dan, kerana tak dengar nasihat Pak Dee, maka hari ketiga Ramadan lagi dah bising terbeli makanan basi.

Kemudian hari ni Pak Dee dengar sosek sosek pakat nak boikot bazar Ramadan, macam mereka boikot McD, Starbuck dan KFC. Pada Pak Dee, tak wajar nak boikot sebab akan memberi kesan pada peniaga lama. Peniaga yang jual makanan fresh.

Kalau nak boikot juga, boikotlah peniaga yang jual makanan basi dan air masam tu. Kenal pasti tapak gerai dan muka peniaga tu, kemudian beritahu kepada orang ramai jangan sekali-kali singgah beli di situ. Itu cara betul nak boikot.

Bazar Ramadan tak salah. Maka tak perlu nak boikot. Yang salah ialah peniaga bidan terjun tu. Masak tah apa-apa, lebih kepada syok sendiri. Soal kualiti diletaknya ke belakang. Kemudian datang pelanggan yang mata rabun, hidung resdon terus beli makanan tu walaupun lauknya ada telur lalat. Akibatnya, kerana nila setitik habis susu sebelanga. Atau kerana seekor kerbau membawa lumpur habis terpalit pada yang lain.

Jangan, Pak Dee nasihat jangan cuba nak boikot bazar Ramadan. Kesian orang lain yang tak tau memasak nak berbuka puasa nanti. Pak Dee, walaupun tak pandai masak, arwah mak ada tinggalkan resipi singgang ikan, tumis ikan bilis dan tumis ketam.

Tiga resipi ni kalau Pak Dee masak gilir-gilir dah seminggu bertahan makan masakan sendiri. Minggu seterusnya, goreng kunyit ikan, makan dengan budu. Selera betul. Ramadan tak mestinya kita kena makan makanan sedap-sedap. Menu biasa pun menyelerakan untuk dijadikan juadah berbuka puasa. – NasionalDaily

Kongsi berita-berita menarik di Telegram NasionalDaily: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily.com dan sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami ke 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *