MUAR – Seorang remaja lelaki ditemui lemas di sungai Kampung Parit Ibrahim, Jalan Parit Shafie, dekat sini petang semalam.
Mangsa berusia 15 tahun dipercayai lemas ketika sedang mandi di kawasan yang dipercayai lombong.
Menurut Komander Operasi PBK I KUP Johar Tumin, JBPM Johor menerima panggilan kecemasan pada jam 4.56 petang berkenaan kejadian lemas berhampiran surau Kampung Parit Ibrahim, Jalan Parit Shafie, Kampung Parit Ibrahim, Muar.
Katanya, pasukan bomba daripada BBP Muar bergegas ke lokasi kejadian sebaik panggilan diterima.
“Sembilan anggota Bomba telah bertugas bersama satu jentera FRT dan satu kenderaan Unit EMRS digunakan dalam operasi tersebut.
“Kejadian lemas ini berlaku ketika mangsa dipercayai sedang mandi di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya telah membuat pencarian di bahagian dasar sungai dan telah menjumpai mangsa pada kedalaman tiga meter dengan jarak dua meter dari tebing dilaporkan lemas.
Katanya, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pihak KKM dan dibawa ke hospital bagi tujuan bedah siasat.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, operasi SAR hari ketiga oleh anggota Bomba dan polis Endau serta Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mersing turut menjumpai mangsa jatuh bot di Pantai Belukar Juling, Endau.
Penemuan mayat mangsa dalam operasi pencarian dengan polar kawasan diperluaskan sehingga 20 kilometer dari Pantai Tanjung Gemok hingga ke Pantai Penyabong.
Mangsa adalah warga asing yang dikenali sebagai Thop Soundala berusia 19 tahun berasal dari Laos.
Beliau dilaporkan jatuh dari bot dan hilang dalam kejadian tiga hari lalu.
“Masuk hari ketiga pencarian, operasi SAR diteruskan dengan polar pencarian yang lebih luas sejauh 20 kilometer melibatkan kawasan pantai Tanjung Gemok sehingga pantai Penyabong.
“Mayat mangsa ditemui orang awam lebih kurang 10 kilometer dari tempat dilaporkan terjatuh. Mayat kemudian dibawa ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan hari ini. – NasionalDaily
Kongsi berita-berita menarik NasionalDaily di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com