KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyambut hari pertama Ramadan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut Ramadan kepada seluruh umat Islam di negara ini.
“Alhamdulillah, dapat kita bertemu dan diberi peluang melakukan ibadah dan amalan sempena bulan yang amat istimewa bagi umat Islam.
“Saya ingin ambil peluang ini untuk ucap terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan saya serta isteri (Tun Siti) Hasmah (Mohamad Ali) dan kesejahteraan kami berdua.
“Saya masih menjalani rawatan di IJN akibat daripada jangkitan yang saya alami sejak bulan Januari lalu. Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya semakin pulih berkat doa yang diberikan serta usaha gigih para doktor, jururawat serta staff di IJN ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya semalam.
Dalam hantarannya itu, beliau yang mencecah usia 98 tahun berharap kembali pulih seperti biasa dan dibenarkan pulang dalam masa terdekat.
Jelas beliau, setakat ini, adakalanya pakar di IJN membenarkannya pulang sekejap atau ‘home leave’, tapi tetap perlu bermalam di sana.
“Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada semua yang telah mendoakan saya.
“Selamat berpuasa. Saya berdoa semoga amal ibadat dan usaha kita di bulan yang istimewa ini akan dirahmati dan diberkati ALLAH SWT insya-ALLAH,” katanya. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com