PAKAN (SARAWAK) – Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor melakukan pemantauan di dua lokasi tanah runtuh di Pakan pada Khamis.
Ketua BBP Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.38 petang.
Beliau berkata, sejurus menerima panggilan, dua anggota bomba dikerahkan ke lokasi terbabit.
“Lokasi pertama kejadian tanah runtuh dipantau pasukan bomba ialah di Batu 13, Jalan Entabai dan hasil pemantauan mendapati ia berlaku di persimpangan jalan sebuah rumah panjang.
“Lokasi kedua ialah di Batu 15, Jalan Entabai dengan tanah runtuh berlaku di bahagian lereng bukit tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan situasi itu pasukan bomba memasang tali sawar-sawar di dua lokasi terbabit sebagai tanda amaran dan peringatan.
Katanya, penduduk turut diingatkan agar tidak mendekati kawasan runtuh bagi mengelak sebarang risiko atau kejadian tidak diingini.
“Bomba turut menasihati penduduk agar berhati-hati apabila melalui kawasan runtuhan dan melaporkan kepada pihak berwajib jika terdapat runtuhan baharu berlaku,” jelasnya. – NasionalDaily