KUALA LUMPUR – Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia (PSBM) melakar sejarah atas kejayaannya mengharumkan nama NGO itu dan Malaysia khususnya dalam penaklukan puncak gunung sama ada di dalam mahupun luar negara.
Atas semangat yang berkobar dalam diri Kapten (B) Che Shariff Othman selaku Setiausaha Kehormat PSBM, telah memacakkan bendera pertubuhan itu yang berkibar megah di beberapa puncak gunung.
Dengan mambawa cogankata “Cergas Berbakti”, Che Shariff telah menakluk Gunung Kinabalu di Sabah, Gunung Rinjai di Pulau Lombok, Indonesia; Gunung Merapi di Padang, Bukit Tinggi, Sumatera Barat; dan Gunung Binaiya di Pulau Seram dalam Kepulauan Maluku, Indonesia.
Beliau telah lama melayan hobinya mendaki gunung, iaitu sejak 1980-an lagi dan dalam tempoh itu hampir 100 puncak gunung telah ditawannya.
“Kejayaan terbesar Kapten (B) Che Shariff selaku Setiausaha Kehormat PSBM ialah mengibarkan bendera pertubuhan dengan megahnya di beberapa puncak gunung di Malaysia, Indonesia dan negara Asean,” kata Presiden PSBM, Datuk Seri Ramle Mat Daly kepada NasionalDaily.
Menurut beliau, antara gunung yang telah ditakluk ialah rangkaian gunung G7 Semenanjung Malaysia, rangkaian G7 Indonesia, Gunung Fuji di Jepun, Gunung Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal, Gunung Fansifan sempadan Vietnam – China dan Gunung Doi Inthanon di Chiangrai, Thailand.
Kapten (B) Che Shariff juga katanya, telah berjaya mendaki beberapa puncak gunung tertinggi di Sabah iaitu Gunung Kaigaran, Gunung Singing dan Gunung Trusmadi.
Beliau kini dalam perancangan untuk membawa bendera PSBM ke puncak Gunung Sindoro dan Sumbing di Yogyakarta, Jawa Tengah pada Mei ini. – NasionalDaily