BERITA UTAMA

Mesyuarat UMNO: Pindaan Fasal 5 Tambah Baik Peraturan Pendaftaran Keahlian

PUTRAJAYA – Mesyuarat UMNO Cawangan-cawangan yang bermula 22 April sehingga 2 Jun ini akan mengguna pakai pindaan Perlembagaan parti pada Fasal 5 yang telah diluluskan Jun tahun lalu.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pindaan Perlembagaan pada fasal itu adalah untuk menambah baik peraturan pendaftaran keahlian parti.

Kata beliau, pindaan yang diluluskan tahun lalu dibuat agar penambahbaikan dapat dilakukan dari semasa ke semasa.

“Kita telah meluluskan pindaan perlembagaan parti tahun lepas dan perkara ini melibatkan Fasal 5 Perlembagaan yang menetapkan pendaftaran ahli dibuat melalui peraturan.

“Ini bagi membolehkan soal pendaftaran ahli di bawah peraturan ini dilakukan penambahbaikan pada bila-bila masa kerana ia hanya memerlukan kelulusan daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT),” katanya ketika menyampaikan taklimat di Majlis Minum Petang dan Taklimat Persidangan UMNO Cawangan bagi tahun 2024.

Kata Mohamed Khaled, pelbagai cabaran dan masalah yang dihadapi menuntut pindaan perlembagaan itu dilaksanakan.

“Kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dan masalah pada masa ini. Dari semasa ke semasa cabaran ini menuntut kita melakukan penambahbaikan kepada segala peraturan.

“Jadi, parti telah membuat keputusan supaya perkara yang melibatkan pindaan ataupun pendaftaran keahlian di bawah peraturan dan seperti perkara lain sebagai contoh persidangan sayap. Semuanya hanya memerlukan kelulusan daripada MKT.

“Maknanya pada bila-bila masa penambahbaikan boleh dilakukan. Jadi, kita telah melalui proses perkara itu diluluskan oleh perlembagaan dan jawatankuasa perlembagaan parti telah berbincang serta bermesyuarat,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, UMNO menerusi perhimpunan khas yang diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 telah meluluskan usul pindaan perlembagaan parti yang membabitkan beberapa fasal utama termasuk memudahkan permohonan keahlian.

Pindaan yang dibentangkan beliau itu mendapat sokongan sebulat suara perwakilan yang hadir membabitkan Fasal 5, Fasal 10 dan Fasal 18. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *