KULAI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan urusan berkaitan kedudukan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada Ketua Setiausaha KDN dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu sedang diuruskan oleh kedua-dua pihak mengikut peraturan pentadbiran awam sedia ada.
“Hal itu sedang diuruskan antara Ketua Setiausaha saya dengan Ketua Setiausaha Negara sebab pentadbiran awam mempunyai peraturan untuk mengurus keadaan sedemikian,” katanya ketika diminta mengulas tentang kedudukan Mohd Suhaily sebagai Ketua Pengarah AKPS tatkala berdepan dengan kes di mahkamah.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) Ke-78 dan Peluncuran Kampung Angkat MADANI (KAM) berserta Peluncuran Sekolah Angkat MADANI (SAM) di Dewan Serbaguna Kampung Melayu Sedenak, Kulai, di sini hari ini.
Mengulas kritikan Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa beliau gagal menjadi orang tengah dalam isu membabitkan AKPS dan anggotanya, Saifuddin Nasution berkata beliau menerima teguran berkenaan dengan hati terbuka.
Beliau, bagaimanapun, turut mempersoalkan kemampuan pemimpin pembangkang memainkan peranan sebagai pendamai apabila parti mereka sendiri berdepan perpecahan, termasuk konflik antara kumpulan yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Pertamanya, saya sangat berjiwa besar menyambut baik teguran, terutama yang datang daripada Ahli Parlimen pembangkang yang partinya pun berpecah belah sebab kegagalannya untuk menjadi pendamai,” katanya.
Pada Rabu lepas, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis, Faiz Saman dan Ekmal Sofwan Dirman, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 Sept.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pada hari sama juga, peguam yang mewakili Mohd Shuhaily, Datuk Rosal Azimin Ahmad dilaporkan berkata anak guamnya itu akan terus menjalankan tugas seperti biasa selagi tiada arahan pentadbiran sebaliknya, meskipun berdepan dengan dua pertuduhan di mahkamah. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
