Kekurangan Vitamin D: Masalah Tulang atau Masalah Seluruh Tubuh?

Oleh: Prof. Madya Dr. Nadia Mohd Effendy, Dr. Nur Nabilah Abu Bakar & Dr. Sharifah Najwa Syed Mohamad

MALAYSIA merupakan negara tropika yang menerima cahaya matahari hampir sepanjang tahun. Namun ironinya, kekurangan vitamin D masih berlaku di kalangan rakyat Malaysia.

Bagaimana keadaan ini boleh berlaku, sedangkan kita hidup dalam persekitaran yang kaya dengan sumber semula jadi untuk menghasilkan vitamin D?

Ramai menganggap vitamin D hanya penting untuk tulang. Hakikatnya, vitamin D mempunyai peranan yang lebih luas. Walaupun kesan kekurangannya paling jelas melibatkan tulang dan otot, vitamin D turut terlibat dalam pelbagai proses fisiologi tubuh.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Vitamin D: Vitamin atau Hormon?

Vitamin D unik kerana tubuh manusia mampu menghasilkannya melalui kulit apabila terdedah kepada sinaran ultraviolet B (UVB) daripada cahaya matahari. Dari perspektif fisiologi dan farmakologi, vitamin D sebenarnya mempunyai ciri seperti hormon.

Selepas terbentuk di kulit atau diperoleh daripada makanan dan suplemen, vitamin D ditukarkan di hati kepada 25-hydroxyvitamin D [25(OH)D], iaitu bentuk yang lazimnya diukur melalui ujian darah.

Seterusnya, ia diaktifkan terutamanya di buah pinggang kepada calcitriol, bentuk vitamin D yang aktif.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Calcitriol bertindak melalui vitamin D receptor (VDR) yang terdapat pada pelbagai jenis sel dan tisu. Melalui reseptor ini, vitamin D boleh mempengaruhi ekspresi gen dan pelbagai tindak balas fisiologi.

Ini menunjukkan vitamin D bukan sekadar nutrien, tetapi sebahagian daripada sistem kawal selia tubuh yang kompleks.

Mengapa Vitamin D Penting untuk Tulang dan Otot?

Tulang sentiasa mengalami proses pembentukan dan pemecahan yang dikenali sebagai bone remodelling. Osteoblas membentuk tulang, manakala osteoklas menjalankan proses resorpsi tulang.

Vitamin D memainkan peranan penting dalam penyerapan kalsium dan fosfat daripada usus. Apabila vitamin D tidak mencukupi, penyerapan kalsium menjadi kurang efisien dan tubuh mungkin mengambil kalsium daripada tulang untuk membantu mengekalkan paras kalsium darah.

Dalam kalangan kanak-kanak, kekurangan vitamin D yang teruk boleh menyebabkan riket, manakala pada orang dewasa ia boleh menyebabkan osteomalasia, iaitu gangguan mineralisasi yang menyebabkan tulang menjadi lebih lembut.

Status vitamin D juga perlu diberi perhatian dalam penjagaan kesihatan tulang, khususnya apabila terdapat faktor risiko osteoporosis seperti peningkatan usia, menopaus, kurang aktiviti fizikal atau penggunaan ubat tertentu.

Vitamin D turut berkait dengan fungsi otot. Kekurangan yang ketara boleh disertai kelemahan otot, yang menjadi lebih penting dalam kalangan warga emas kerana fungsi otot dan keseimbangan yang kurang baik boleh menyumbang kepada risiko jatuh dan seterusnya patah tulang.

Mengapa Rakyat Malaysia Masih Boleh Kekurangan Vitamin D?

Tinggal di negara yang menerima cahaya matahari sepanjang tahun tidak semestinya menjamin paras vitamin D yang mencukupi. Gaya hidup moden menyebabkan ramai individu menghabiskan sebahagian besar masa di dalam bangunan, atau berpakaian melitupi keseluruhan tubuh badan. 

Selain pendedahan cahaya matahari yang terhad, faktor seperti pigmentasi kulit, usia, obesiti dan keadaan kesihatan tertentu juga boleh mempengaruhi status vitamin D.

Justeru, persoalannya bukan sekadar “Adakah negara kita cukup panas?”, tetapi sejauh mana kulit kita benar-benar mendapat pendedahan UVB yang mencukupi.

Dari Perspektif Farmakologi: Adakah Semua Vitamin D Sama?

Suplemen vitamin D lazimnya terdapat dalam dua bentuk utama, iaitu vitamin D₂ (ergocalciferol) dan vitamin D₃ (cholecalciferol). Terdapat juga bentuk vitamin D aktif atau analognya seperti calcitriol dan alfacalcidol, yang digunakan untuk indikasi klinikal tertentu dan memerlukan pemantauan yang sesuai.

Dari sudut farmakologi, sejarah pengambilan ubat juga penting. Sesetengah ubat yang digunakan dalam jangka masa panjang boleh mempengaruhi metabolisme vitamin D, kalsium atau tulang.

Antaranya termasuk sesetengah ubat antiepileptik dan glukokortikoid. Sebagai contoh, penggunaan glukokortikoid jangka panjang seperti prednisolone boleh memberi kesan kepada pembentukan dan resorpsi tulang serta metabolisme kalsium.

Ini mengingatkan kita bahawa apabila menilai kesihatan tulang, kita bukan sahaja perlu bertanya “ubat apa yang perlu diberikan?”, tetapi juga “adakah ubat yang sedang diambil turut menyumbang kepada masalah tersebut?”

Perlukah Kita Mengambil Suplemen Vitamin D?

Suplemen vitamin D boleh memberi manfaat kepada individu yang mengalami kekurangan atau mempunyai faktor risiko tertentu. Namun, ini tidak bermakna semua orang memerlukan vitamin D pada dos yang tinggi.

Vitamin D ialah vitamin larut lemak. Pengambilan berlebihan secara berpanjangan boleh menyebabkan toksisiti dan hiperkalsemia, yang boleh menyebabkan loya, muntah, kelemahan, dahaga berlebihan, kerap membuang air kecil dan, dalam keadaan serius, menjejaskan buah pinggang.

Justeru, prinsip “lebih banyak lebih baik” tidak terpakai kepada vitamin D. Penggunaannya perlu mengambil kira indikasi, dos, tempoh rawatan dan faktor individu. Bagi mereka yang berisiko, penilaian klinikal dan pengukuran paras 25(OH)D boleh membantu menentukan keperluan suplementasi.

Pada masa yang sama, pendedahan cahaya matahari secara bersesuaian, pemakanan seimbang dan gaya hidup aktif kekal penting dalam penjagaan kesihatan tulang.

Vitamin D Lebih Daripada Sekadar “Vitamin Tulang”

Vitamin D sememangnya mempunyai hubungan yang rapat dengan kesihatan tulang, tetapi peranannya tidak terhad di situ. Kehadiran VDR di pelbagai jenis sel dan tisu menunjukkan penglibatan vitamin D dalam pelbagai proses fisiologi.

Selain tulang dan otot, vitamin D terlibat dalam pengawalan fungsi sistem imun dan turut dikaji dalam hubungannya dengan kesihatan kardiometabolik, fungsi neurologi dan kesihatan reproduktif.

Dalam bidang reproduktif, misalnya, status vitamin D telah dikaitkan dengan beberapa aspek seperti fungsi ovari, spermatogenesis dan kesuburan. Namun, hubungan ini masih aktif dikaji dan suplementasi vitamin D tidak seharusnya dianggap sebagai rawatan khusus untuk masalah kesuburan atau penyakit lain di luar sistem muskuloskeletal.

Kesimpulannya, vitamin D mungkin bermula dengan cahaya matahari, tetapi kesannya jauh melangkaui tulang. Status vitamin D seseorang dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk usia, gaya hidup, keadaan kesihatan dan ubat-ubatan yang diambil.

Suplemen boleh membantu apabila diperlukan, tetapi ia bukan pengganti kepada gaya hidup sihat dan penggunaannya perlu berdasarkan keperluan yang bersesuaian. Pendedahan kepada cahaya matahari selama 30 minit, dua hingga tiga hari seminggu, boleh menghasilkan tahap vitamin D yang mencukupi.

Namun, kita perlu sedar juga bahawa pendedahan yang terlalu lama akibat sinaran UBV boleh memberi risiko terhadap kanser kulit. Oleh itu, kesemuanya perlukan keseimbangan dan perancangan yang baik.

Ironinya, kita hidup di negara yang kaya dengan cahaya matahari, tetapi gaya hidup moden menyebabkan ramai antara kita menghabiskan sebahagian besar hari di dalam bangunan. Mungkin sudah tiba masanya kita melihat vitamin D bukan sekadar sebagai “vitamin untuk tulang”, tetapi sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan tubuh secara menyeluruh.

Kerana kadangkala, apa yang tubuh kita perlukan bukanlah lebih banyak suplemen, tetapi keseimbangan antara cahaya matahari, pemakanan, gaya hidup aktif dan penggunaan ubat yang bijak.

Penulis, Prof. Madya Dr. Nadia Mohd Effendy, Jabatan Sains Perubatan 2 (Farmakologi), Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan USIM; Dr. Nur Nabilah Abu Bakar, Pensyarah Fisiologi, Jabatan Sains Perubatan I, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM; dan Dr. Sharifah Najwa Syed Mohamad, Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, USIM merangkap Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Pakar Kesihatan USIM, USIM Healthcare Sdn. Bhd.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *