KANGAR – Kedudukan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, dalam menerajui pentadbiran negeri itu kini bergantung pada pendirian enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS susulan penggantungan keahlian beliau dalam BERSATU selama dua penggal.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan, berkata pentadbiran kerajaan negeri setakat ini berjalan seperti biasa walaupun Abu Bakar berdepan tindakan disiplin parti berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya belum dapat memberikan ulasan lanjut mengenai perkembangan itu kerana masih belum menerima sebarang pemakluman rasmi daripada mana-mana pihak.
Menurutnya, Abu Bakar masih mempunyai tempoh dua minggu untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan BERSATU sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat berhubung perkara berkenaan.
“Walau macam mana keadaan pun, ada dua minggu untuk beliau (Abu Bakar) merayu kepada Lembaga Rayuan BERSATU. Selepas itu, mungkin ada keputusan yang akan mereka buat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Abu Bakar digantung keahlian BERSATU selama dua penggal berkuat kuasa 13 Oktober lalu.
Penggantungan itu disahkan Pengerusi BERSATU Perlis, Izizam Ibrahim, yang memaklumkan surat mengenai tindakan berkenaan dikeluarkan sejak minggu lalu dan Abu Bakar sudah dimaklumkan mengenainya.
Perkembangan itu mencetuskan persoalan mengenai kedudukan politik Menteri Besar berkenaan, namun sebarang perubahan terhadap pentadbiran negeri masih bergantung pada perkembangan seterusnya serta pendirian pihak berkaitan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
