SHAH ALAM – Dr. Akmal Saleh menawarkan motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya untuk dibida bagi membantu menjelaskan ganti rugi serta kos berjumlah RM300,000 susulan keputusan mahkamah.
Ketua Pemuda UMNO itu berkata, tindakan itu diambil selepas mengambil kira kemampuan kewangannya yang belum mencukupi untuk melunaskan jumlah berkenaan, meskipun mempunyai simpanan sendiri.
Menerusi kenyataan dikongsikan, Dr. Akmal berkata, beliau menghormati keputusan mahkamah dan bersedia mematuhi perintah berkenaan dengan memikul sepenuhnya tanggungjawab untuk menjelaskan jumlah itu.
Bagaimanapun, beliau mahu berusaha menjual aset miliknya terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang bantuan kewangan daripada orang ramai.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada sahabat dan kenalan yang memberikan sokongan, doa serta kata-kata semangat, termasuk mereka mencadangkan supaya tabung sumbangan dibuka bagi membantunya menyelesaikan bayaran berkenaan.
Menurutnya, jumlah RM300,000 itu amat besar baginya dan simpanan dimiliki ketika ini belum mencukupi untuk menampung keseluruhan tanggungan berkenaan.
Justeru, beliau mengambil keputusan menawarkan dua aset yang sudah habis dibayar, iaitu motosikal Honda X-ADV dan ikan tilapia ternakannya, untuk dibida oleh pembeli yang berminat.
Dr. Akmal berkata, kedua-dua aset itu mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana masing-masing menyimpan kenangan, hasil penat lelah dan pengalaman bermakna buat dirinya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bagaimanapun, beliau memilih untuk melepaskan aset berkenaan demi melaksanakan tanggungjawabnya tanpa membebankan orang lain, selagi masih mempunyai harta yang boleh diusahakan.
Beliau turut menjelaskan tidak mempunyai tanah atau rumah untuk dijual bagi menampung jumlah ganti rugi dan kos tersebut.
Bagi mereka yang berminat menyertai bidaan, Dr. Akmal menetapkan deposit RM100 yang perlu dimasukkan ke akaun Maybank atas nama Muhamad Akmal bin Saleh. Pembida perlu menghantar resit pembayaran berserta maklumat aset yang ingin dibida dan jumlah tawaran menerusi nombor telefon 013-6232792.
Deposit berkenaan akan dipulangkan sepenuhnya sekiranya bidaan tidak berjaya.
Dalam pada itu, Dr. Akmal menegaskan beliau menghargai sokongan semua pihak dan meminta mereka supaya tidak berasa serba salah sekiranya tidak berkemampuan untuk membeli aset berkenaan atau memberikan bantuan kewangan.
Sebaliknya, beliau berharap doa dan sokongan moral yang diberikan dapat membantunya menghadapi keadaan sukar itu serta diberi kekuatan untuk melepaskan aset kesayangannya demi menyelesaikan tanggungjawab yang dipikul.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
