SEPANG – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu.
Mohd Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya yang hadir ke mahkamah dengan memakai kot berwarna biru gelap.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di kaunter Terminal 1 KLIA antara jam 1.17 tengah hari hingga 1.30 tengah hari, pada 28 September lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Mohd Shuhaily pula diwakili barisan peguam yang diketuai Datuk Rosal Azimin Ahmad, bersama Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.
Kes itu mendapat perhatian selepas video memaparkan seorang lelaki yang kelihatan seperti Mohd Shuhaily memarahi seorang individu di KLIA tular pada 28 September lalu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Susulan kejadian itu, Mohd Shuhaily pada 1 Oktober menyatakan kesediaannya menerima sebarang keputusan atau tindakan berhubung insiden berkenaan.
Dalam sidang media sebelum ini, beliau turut menegaskan tidak mahu KLIA menjadi seperti Selayang dan mahu lapangan terbang itu bebas daripada kegiatan “ulat” warga asing.
Pengakuan tidak bersalah Mohd Shuhaily bermakna pertuduhan terhadapnya akan ditentukan melalui proses perbicaraan mahkamah. Kes itu belum diputuskan dan beliau kekal dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya mengikut undang-undang.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
