KUALA LUMPUR – Sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas dan terbakar berhampiran Short Takeoff and Landing Port (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, petang semalam.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kejadian itu selepas menerima notifikasi daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.
Menurut CAAM, helikopter berkenaan ketika kejadian sedang menjalankan operasi Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) di kawasan berkenaan.
Tidak lama selepas insiden dilaporkan, perkembangan mengenai nasib lima individu yang berada di dalam pesawat mula diketahui.
Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang mengesahkan semua lima individu dalam helikopter berkenaan maut.
Mangsa dikenal pasti sebagai juruterbang, Kapten Zainol Afiq; Doktor, Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 32; Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit; serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.
Berita kematian Dr. Ainul kemudiannya disahkan keluarganya selepas Kementerian Kesihatan (KKM) menghubungi suaminya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, kira-kira jam 4 petang.
Adik iparnya, Nureez Mohd Pauzi berkata, suami Dr. Ainul kemudian memaklumkan berita itu kepada keluarga di Kelantan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Kementerian Kesihatan menghubungi keluarga dan memaklumkan Dr. Ainul yang terbabit nahas helikopter berkenaan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Nureez, keluarga Dr. Ainul yang berada di Kota Bharu segera mendapatkan tiket penerbangan untuk ke Sarawak bagi menguruskan urusan selanjutnya.
Katanya, keluarga masih terkejut dengan berita berkenaan dan merancang berlepas ke Sarawak pada awal pagi esok.
Dr. Ainul yang berasal dari Kota Bharu, sebelum ini berkhidmat di Hospital Tanah Merah sebelum berpindah ke Miri untuk mengikuti suaminya yang bertugas sebagai guru.

Beliau dilaporkan mula bertugas di sebuah hospital di Miri sejak tahun lalu.
Bapa Dr. Ainul, Kamaruddin Salleh, 69, pula berkata, anaknya baru dua hari kembali ke Sarawak selepas menghabiskan cuti selama seminggu bersama keluarga di Kelantan.
“Baru dua hari anak saya kembali ke Sarawak selepas pulang bercuti di Kelantan selama seminggu, hari ini kami mendapat berita helikopter dinaikinya terhempas dan meninggal dunia,” katanya.
Menurut Kamaruddin, pada awalnya beliau menerima panggilan daripada besan yang memaklumkan helikopter dinaiki anaknya terhempas, sebelum menerima panggilan kedua yang mengesahkan kematian Dr. Ainul.
Katanya, berita itu menyebabkan isterinya, Rogayah Mohd Noor, 69, terkejut dan mereka belum berangkat ke Sarawak kerana keadaan kesihatan isterinya yang tidak mengizinkan.
Kamaruddin menyifatkan Dr. Ainul sebagai seorang anak yang baik, pendiam dan banyak membantu keluarga.
Sementara itu, isteri Kapten Zainol Afiq turut memohon orang ramai mendoakan keselamatan dan kesejahteraan keluarganya susulan nahas berkenaan.
Menerusi hantaran di akaun Threads miliknya, wanita itu memohon doa untuk dirinya, anak-anak serta suaminya yang terbabit dalam nahas tersebut.

“Doakan saya dan anak-anak. Doakan suami syurga saya,” katanya.
Dalam pada itu, siasatan bagi menentukan punca kejadian akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Maklumat lanjut mengenai nahas termasuk keadaan dan identiti mangsa serta hasil siasatan dijangka dimaklumkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
