Genap 69 Tahun Merdeka: Sudahkah Minda Pemimpin Kita Merdeka Daripada Rasuah?

Oleh: Datuk Mohamad Fauzi Husin

SETIAP tahun Jalur Gemilang dikibarkan. Lagu patriotik dinyanyikan. Laungan Merdeka! bergema di seluruh negara. Kita bercakap tentang kemajuan, pembangunan, pendidikan, teknologi dan masa depan Malaysia. Tetapi di sebalik segala kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, ada satu persoalan yang mungkin lebih penting untuk kita renungkan: Sudahkah minda kita benar-benar merdeka?

Merdeka daripada rasuah. Merdeka daripada salah guna kuasa. Merdeka daripada kronisme. Merdeka daripada kepentingan diri. Merdeka daripada budaya “orang kita mesti dibela.” Merdeka daripada sikap membenarkan sesuatu yang salah hanya kerana pelakunya ialah orang yang kita kagumi, kita kenali atau kita sokong.

Hal ini kerana merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan asing. Merdeka juga bermaksud bebas daripada penjajahan pemikiran yang menyebabkan kita menerima yang salah sebagai benar.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Kita Tidak Kekurangan Orang Berilmu

Malaysia tidak kekurangan orang pandai. Malaysia mempunyai ramai insan berpendidikan tinggi. Kita mempunyai profesor. Kita mempunyai doktor. Kita mempunyai pakar dalam pelbagai bidang sains dan teknologi. Kita mempunyai graduan universiti terbaik. Kita mempunyai pegawai awam berpengalaman.

Ada pemimpin yang mempunyai pengalaman luas dan mampu berpidato dengan begitu meyakinkan. Kita mempunyai ahli korporat dan tokoh masyarakat. Semua itu adalah sesuatu yang wajar dihormati. Akan tetapi persoalan yang lebih besar ialah:  Berapa ramai yang berani memilih yang benar apabila yang benar itu tidak menguntungkan diri sendiri?

Kita tidak mempertikaikan PhD. Kita tidak merendahkan pendidikan. Kita juga tidak menolak kepetahan berbicara. Akan tetapi kita perlu memahami satu perkara: Pendidikan tinggi bukan jaminan automatik seseorang itu berintegriti.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Seseorang boleh mempunyai ilmu yang tinggi tetapi tetap boleh membuat keputusan yang salah. Seseorang boleh petah berbicara tetapi belum tentu jujur dalam tindakannya.

Seseorang boleh mempunyai kedudukan yang tinggi tetapi masih boleh menyalahgunakan kuasa. Seseorang boleh mempunyai nama yang besar tetapi belum tentu mempunyai jiwa yang besar untuk mempertahankan amanah.

Jangan Terpedaya Dengan Gelaran

Masyarakat juga perlu belajar menjadi lebih kritikal. Jangan kerana seseorang mempunyai gelaran “Dr.”, kita menganggap semua yang dikatakannya benar. Jangan kerana seseorang profesor, kita berhenti bertanya.

Jangan kerana seseorang tokoh, kita takut menegur. Jangan kerana seseorang pemimpin petah berpidato, kita serahkan kepercayaan tanpa melihat rekod dan tindakannya. Hormati orangnya, tetapi nilai hujahnya. Hormati ilmunya, tetapi periksa tindakannya.

Hormati jawatannya, tetapi awasi kuasanya. Hal ini kerana dalam sebuah masyarakat demokratik, soalan yang kritikal bukan musuh pemimpin. Sebaliknya, soalan kritikal membantu memastikan kuasa tidak disalahgunakan.

Ilmu Tanpa Integriti Boleh Menjadi Bahaya

Ilmu sepatutnya menjadikan seseorang lebih rendah hati. Semakin banyak yang diketahui, semakin seseorang sedar bahawa masih banyak yang belum diketahui.

Orang yang benar-benar berilmu tidak takut berkata: “Saya perlu semak dahulu.” “Saya mungkin tersilap.” “Bukti itu belum mencukupi.” Itulah kematangan ilmu. Sebaliknya, apabila seseorang menggunakan ilmu, gelaran atau kepetahannya untuk menghalang persoalan dan menutup kelemahan, maka kita berdepan dengan masalah yang lebih besar. Ilmu yang tidak disertai integriti boleh menjadi sekadar alat untuk membina pengaruh.

Di sinilah masalah kita sebagai masyarakat. Kita hidup dalam zaman maklumat. Apa sahaja boleh dicari dalam beberapa saat. Akan tetapi semakin banyak maklumat tidak semestinya menghasilkan masyarakat yang semakin kritikal.

Media sosial membolehkan dakwaan yang tidak mempunyai asas tersebar dengan begitu pantas. Seseorang bercakap dengan penuh keyakinan, kita percaya. Seseorang menunjukkan buku, kita kagum. Seseorang menggunakan istilah saintifik, kita anggap benar.

Seseorang mempunyai kelayakan akademik, kita tidak lagi bertanya. Seseorang mempunyai gelaran agama, kita terus menerima. Hal inilah yang perlu diubah. Kita mesti belajar membezakan antara: Fakta dengan pendapat, bukti dengan dakwaan, ilmu dengan retorik dan kebenaran dengan persepsi.

Pemimpin Diuji Apabila Mempunyai Kuasa

Ketika belum berkuasa, mudah bercakap tentang integriti. Mudah berjanji. Mudah bercakap tentang keadilan. Mudah mengatakan bahawa rasuah ialah musuh negara. Tetapi watak sebenar pemimpin lebih jelas selepas kuasa berada di tangannya.

Apakah yang berlaku apabila dia mempunyai kuasa membuat keputusan? Apakah yang berlaku apabila kepentingan peribadi bertembung dengan kepentingan rakyat? Apakah yang berlaku apabila kawan meminta bantuan? Apakah yang berlaku apabila orang bawahannya melakukan kesalahan?

Apakah yang berlaku apabila prinsip bertembung dengan kepentingan politik? Di situlah integriti diuji. Bukan ketika kamera di hadapan. Bukan ketika mikrofon terbuka. Bukan ketika ucapan sedang disampaikan. Akan tetapi ketika tiada siapa melihat.

Rasuah Tidak Semestinya Bermula Dengan Wang

Kita sering menganggap rasuah hanya apabila wang bertukar tangan. Sebenarnya budaya yang membawa kepada rasuah boleh bermula dengan perkara yang kelihatan kecil.  

“Tolong kawan.” “Bagi peluang kepada orang kita.” “Jangan susahkan dia.” “Kita boleh bincang.” “Semua orang buat.” “Jangan terlalu ikut peraturan.” Sedikit demi sedikit, prinsip dikompromi. Hari ini dianggap kecil.

Esok menjadi kebiasaan. Lusa menjadi budaya dan menjalar dalam sistem. Akhirnya sesuatu yang salah dianggap normal. Apabila yang salah sudah dianggap biasa, di situlah integriti mula mati. Sekiranya budaya itu meresap dalam kepemimpinan, kerosakan bukan lagi kepada seorang individu tetapi kepada institusi dan kepercayaan rakyat.

Jangan Hanya Marah Apabila Rasuah Menimpa Kita

Hal ini juga persoalan yang perlu kita jawab dengan jujur. Apabila kita tidak mendapat sesuatu kerana rasuah, kita marah. Apabila orang lain menyalahgunakan kuasa terhadap kita, kita marah.

Apabila kontrak diberikan secara tidak adil, kita marah. Akan tetapi bagaimana pula apabila orang yang kita sokong melakukan perkara yang sama? Tiba-tiba kita mempunyai alasan: “Dia banyak berjasa.” “Jangan politikkan perkara ini.” “Dia bukan macam itu.” “Beri dia peluang.” “Semua orang buat.”

Hal inilah bentuk penjajahan minda yang paling berbahaya. Kita menolak rasuah apabila ia merugikan kita, tetapi mendiamkan diri dan “memaafkannya” apabila ia menguntungkan diri dan pihak yang kita sokong. Itu bukan integriti. Itu pilih kasih terhadap prinsip.

Sudah 69 Tahun Merdeka: Apakah Yang Sebenarnya Belum Merdeka?

Selepas 69 tahun, kita mempunyai negara yang jauh lebih maju berbanding zaman awal kemerdekaan. Kita mempunyai bangunan pencakar langit. Kita mempunyai universiti. Kita mempunyai teknologi. Kita mempunyai tenaga profesional.

Kita mempunyai generasi yang berpendidikan tinggi. Akan tetapi kita mesti berani bertanya: Adakah kemajuan fizikal kita sudah disertai kemajuan moral dan integriti? Jika kita masih bertolak ansur dengan rasuah. Jika kita masih mempertahankan salah guna kuasa kerana pelakunya “orang kita”. Jika kita masih menganggap hubungan lebih penting daripada kelayakan.

Jika kita masih takut menegur pemimpin. Jika kita masih menutup mata terhadap ketidakjujuran. Maka kita perlu mengakui satu hakikat: Tanah air kita sudah merdeka, tetapi sebahagian minda kita mungkin masih belum merdeka.

Kita Memerlukan “Kemerdekaan Kedua”

Kemerdekaan kedua bukanlah perjuangan menentang penjajah. Ia ialah perjuangan membebaskan diri daripada budaya yang merosakkan negara dari dalam.

Membebaskan politik daripada kepentingan sempit. Membebaskan institusi daripada campur tangan. Membebaskan pentadbiran daripada salah guna kuasa. Membebaskan perniagaan daripada budaya suapan rasuah.

Membebaskan masyarakat daripada sikap “asal aku dapat, aku tidak peduli.” Apa yang penting, membebaskan generasi muda daripada kepercayaan bahawa kejayaan boleh dicapai melalui kabel, wang dan pengaruh.

Pemimpin Yang Kita Perlukan

Malaysia tidak memerlukan pemimpin yang hanya pandai bercakap tentang integriti. Kita memerlukan pemimpin yang hidup dengan integriti. Tidak takut diperiksa. Tidak takut dipersoalkan. Tidak takut disiasat. Tidak takut diaudit. Tidak takut kehilangan kepentingan apabila mempertahankan prinsip.

Tidak menggunakan jawatan untuk memperkayakan diri dan kroni. Tidak melindungi orang yang melakukan kesalahan hanya kerana hubungan politik atau peribadi. Kita bukans ahaja mahu pemimpin yang tinggi ilmunya, tajam fikirannya, hebat komunikasinya, tetapi bersih amanahnya. Hal ini kerana ilmu membina kebijaksanaan, tetapi integriti menentukan bagaimana kebijaksanaan itu digunakan.

Akhirnya, Rakyat Tidak Menilai Gelaran, Rakyat Menilai Warisan

Apabila seseorang pemimpin meninggalkan jawatan, gelaran mungkin masih kekal. Tetapi rakyat akan mengingati: Apakah yang telah dilakukannya? Adakah dia amanah? Adakah dia jujur? Adakah dia berani menolak rasuah? Adakah dia menjaga wang rakyat? Adakah dia mempertahankan institusi? Adakah dia meninggalkan negara yang lebih bersih daripada sebelumnya?

Hal ini kerana akhirnya, sejarah tidak hanya bertanya: “Berapa tinggi pendidikan seorang pemimpin?” Sejarah akan bertanya: “Apa yang dilakukannya dengan ilmu, kuasa dan amanah yang diberikan kepadanya?”

Sempena Hari Kebangsaan Ke-69

Marilah kita berhenti seketika daripada sekadar melaungkan MERDEKA!Dan bertanya kepada diri sendiri: Sudahkah kita merdeka daripada rasuah? Sudahkah kita merdeka daripada salah guna kuasa? Sudahkah kita merdeka daripada budaya “orang kita”? Sudahkah kita merdeka daripada sikap menutup mata terhadap kesalahan? Kerana kemerdekaan sebenar bukan sekadar kebebasan sebuah negara.

Ia ialah kebebasan jiwa untuk memilih yang benar walaupun kita tidak mendapat keuntungan daripadanya. Kebebasan minda untuk bertanya walaupun soalan itu tidak disenangi. Kebebasan hati untuk menolak rasuah walaupun peluang terbuka di hadapan mata. Kebebasan moral untuk mengatakan “TIDAK” kepada perbuatan rasuah walaupun yang melakukannya ialah orang yang kita kenal.

Genap 69 tahun merdeka. Sudah tiba masanya memerdekakan minda. Merdeka jiwanya.  Merdeka daripada rasuah. Merdeka dengan integriti.

Datuk Mohamad Fauzi Husin ialah Presiden, Pertubuhan Integriti Dan Antirasuah Malaysia (INTRAS), Mantan Timbalan Pesuruhjaya SPRM

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *