KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin tidak bertujuan melemahkan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah wajar dihormati, namun keputusan berkenaan masih boleh dikritik dari sudut perundangan dan perlembagaan.
Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, persoalan utama yang perlu diberi perhatian ialah pendekatan Mahkamah Persekutuan dalam menentukan sempadan kuasa legislatif negeri dan Persekutuan, khususnya berkaitan bidang kuasa negeri untuk menggubal undang-undang kesalahan terhadap ajaran Islam.
Menurutnya, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai persoalan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah menggubal undang-undang jenayah yang berada dalam bidang kuasa Parlimen.
Sebaliknya, katanya, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan penciptaan dan hukuman kesalahan terhadap ajaran Islam, tertakluk kepada perkara yang dikecualikan di bawah Senarai Persekutuan.
“Persoalan perlembagaan yang lebih mendasar ialah sejauh mana pengecualian tersebut boleh digunakan sehingga menyingkirkan kuasa nyata yang diberikan kepada negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Zainul Rijal berkata, pendekatan “pith and substance” yang digunakan majoriti Mahkamah Persekutuan dalam kes itu juga perlu diteliti secara kritikal.
Katanya, majoriti membezakan antara kesalahan agama yang semata-mata bersifat keagamaan dengan kesalahan yang menyentuh aspek ketenteraman awam, keselamatan, kesihatan atau moral.
Walaupun pendekatan berkenaan mempunyai asas dalam undang-undang perlembagaan, beliau berkata, persoalannya ialah sama ada ukuran tersebut akhirnya menjadi terlalu luas sehingga mengehadkan ruang negeri untuk menggubal kesalahan berkaitan ajaran Islam.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Banyak perbuatan yang dilarang dalam hukum Syariah sememangnya mempunyai dimensi moral dan ketenteraman awam.
“Jika unsur-unsur tersebut secara automatik menyebabkan sesuatu kesalahan terkeluar daripada Senarai Negeri, ruang sebenar DUN untuk menggubal kesalahan terhadap ajaran Islam menjadi amat terbatas,” katanya.
Beliau pada masa sama berkata, perlu dibezakan antara kesalahan yang mempunyai kepentingan awam dengan undang-undang jenayah umum.
Katanya, sesuatu perbuatan yang mempunyai implikasi terhadap moral atau ketenteraman awam tidak semestinya bermakna ia hanya boleh menjadi subjek undang-undang Persekutuan.
“Dalam konteks undang-undang Syariah, sesuatu perbuatan boleh pada masa yang sama mempunyai dimensi agama dan sosial.
“Oleh itu, ukuran yang lebih berhati-hati mungkin diperlukan supaya kuasa negeri tidak menjadi sekadar kuasa untuk menggubal kesalahan yang benar-benar bersifat ritual atau keagamaan sahaja,” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa keputusan Nik Elin tidak melemahkan Mahkamah Syariah, Zainul Rijal berkata perkara itu perlu dilihat berdasarkan kesan doktrinal keputusan berkenaan dan bukan semata-mata niat mahkamah.
Menurutnya, Mahkamah Persekutuan sememangnya tidak membatalkan kewujudan atau kedudukan Mahkamah Syariah, namun pembatalan 16 peruntukan undang-undang Syariah kerana dianggap berada di luar kompetensi DUN mempunyai implikasi terhadap keluasan kuasa legislatif negeri dalam bidang jenayah Syariah.
“Maka adalah sah dari sudut akademik untuk bertanya sama ada tafsiran tersebut secara tidak langsung mengecilkan ruang lingkup undang-undang Syariah negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kewujudan penghakiman minoriti Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, turut menunjukkan bahawa persoalan berkenaan bukan sesuatu yang hanya mempunyai satu tafsiran perlembagaan.
Katanya, Abdul Rahman mengambil pendekatan berbeza berhubung locus standi serta keupayaan mahkamah untuk sampai kepada merit cabaran tersebut.
“Perbezaan pendapat ini penting dalam wacana undang-undang kerana ia menunjukkan bahawa terdapat persoalan prinsip yang serius mengenai bagaimana cabaran perlembagaan terhadap undang-undang negeri sepatutnya dibawa dan diputuskan,” katanya.
Zainul Rijal berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin mungkin tidak dimaksudkan untuk melemahkan Mahkamah Syariah, namun kesannya terhadap ruang kuasa legislatif negeri dalam menggubal undang-undang jenayah Syariah tetap wajar diperdebatkan.
Katanya, persoalan utama bukan mengenai niat mahkamah, tetapi sama ada tafsiran terhadap pembahagian kuasa dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan telah memberikan tafsiran terlalu luas kepada kuasa Parlimen sehingga pada masa sama mengecilkan kuasa nyata negeri untuk menggubal kesalahan terhadap ajaran Islam.
Isu itu, katanya, kini kembali mendapat perhatian selepas Kelantan menggubal enakmen Syariah baharu pada Ogos 2026 sebagai respons terhadap keputusan kes Nik Elin.
“Perkembangan ini menjadikan perbahasan mengenai sempadan kuasa negeri dan Persekutuan bukan sekadar persoalan akademik, sebaliknya isu perlembagaan yang terus mempunyai implikasi terhadap masa depan perundangan Syariah di negara ini,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
