PETALING JAYA – Usaha memperkukuh hubungan rentas sempadan antara Perlis dan wilayah selatan Thailand terus diperkasakan menerusi pelbagai bidang kerjasama termasuk kebudayaan, pendidikan, pelancongan, pembangunan belia serta ekonomi halal.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dengan Ketua Setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand (SBPAC), Piyasiri Wattanavarangkul, yang berlangsung di Istana Arau hari ini.
Turut berangkat pada pertemuan tersebut ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Menurut kenyataan, Tuanku Syed Faizuddin bertitah bahawa pertemuan berkenaan membuka ruang untuk meneroka peluang kerjasama baharu selain memperkukuhkan hubungan yang telah lama terjalin antara masyarakat di kedua-dua kawasan sempadan.
Baginda bertitah, hubungan erat antara Perlis dan wilayah selatan Thailand bukan sahaja terbina atas faktor geografi, malah turut berakar daripada persamaan sejarah, budaya, agama serta hubungan kekeluargaan yang telah lama wujud.
Menurut baginda, asas hubungan tersebut menjadi landasan penting untuk memperluaskan jaringan kerjasama yang lebih menyeluruh demi manfaat masyarakat di kedua-dua negara.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah usaha memelihara dan memperkasa warisan Melayu-Islam, termasuk aspek pemuliharaan bahasa Melayu, tulisan Jawi, adat resam, budaya serta tradisi keagamaan.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperluaskan pertukaran budaya antara komuniti, khususnya dalam kalangan generasi muda, sebagai pendekatan untuk memperkukuhkan persefahaman dan hubungan rakyat di kawasan sempadan.
Dalam bidang pendidikan, kedua-dua pihak melihat potensi memperluaskan kerjasama melalui program pertukaran pelajar dan guru, pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), selain peluang penawaran biasiswa kepada pelajar dari wilayah selatan Thailand untuk melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di Perlis.
Antara institusi yang dikenal pasti berpotensi menjadi rakan kerjasama ialah Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), yang boleh memainkan peranan dalam memperluaskan peluang pendidikan serta pembangunan modal insan serantau.
Selain itu, pertemuan tersebut turut menyentuh kerjasama dalam bidang pengurusan masjid, pengajian al-Quran serta pembangunan industri halal yang dilihat mempunyai potensi besar untuk dikembangkan secara bersama.
Dalam sektor pelancongan pula, kedua-dua pihak membincangkan cadangan pembangunan laluan pelancongan warisan yang menghubungkan Perlis dengan beberapa wilayah selatan Thailand seperti Satun, Songkhla, Yala, Pattani dan Narathiwat.
Kerjasama berkenaan dijangka dapat memperkukuhkan sektor pelancongan serantau melalui promosi destinasi berasaskan warisan sejarah, ekopelancongan serta kepelbagaian makanan tempatan atau gastronomi.
Turut diberi perhatian ialah pembangunan kapasiti golongan belia melalui program kepimpinan, pertukaran aktiviti sukan, pembangunan keusahawanan serta program kesukarelawanan yang mampu mewujudkan jaringan lebih erat antara komuniti di kedua-dua belah sempadan.
Perbincangan turut merangkumi kerjasama dalam aspek bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan serta kesejahteraan masyarakat yang tinggal berhampiran kawasan sempadan.
Kerjasama strategik Perlis dan wilayah selatan Thailand itu dilihat sebagai kesinambungan kepada hubungan serantau yang berteraskan persamaan sejarah dan budaya, selain berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial dan ekonomi di kawasan sempadan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L