KUALA LUMPUR – Pegawai Maybank memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa Permodalan Nasional Bhd (PNB) memindahkan RM20.3 juta kepada Fashion Valet Sdn Bhd, pada 2018.
Penolong Pengurus Maybank cawangan Jalan Tun Razak, Shamsiah Musa, 55, berkata rekod bank menunjukkan PNB memindahkan RM20,318,510 dalam dua transaksi ke akaun Public Bank, milik Fashion Valet, pada 4 Jun dan 20 Dis tahun tersebut.
FMT melaporkan, ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan RM8 juta dihadapi pengasas Fashion Valet, Vivy Yusof dan suaminya, Fadzarudin Shah Anuar, Shamsiah berkata, PNB pertama kali memindahkan RM11,953,509 pada 4 Jun melalui transaksi di kaunter yang memerlukan kelulusan daripada penandatangan yang diberi kuasa.
Pada 20 Dis, PNB memindahkan lagi RM8,365,001 menerusi perbankan dalam talian.
Shamsiah, yang juga saksi pendakwaan kedua, turut mengenal pasti 22 individu yang merupakan penandatangan yang diberi kuasa bagi PNB pada masa itu.
Katanya, penandatangan berkenaan dibahagikan kepada tiga kumpulan – A, B, dan C – serta senarai tersebut berubah dari masa ke masa.
Namun, beliau tidak menyatakan kumpulan mana yang meluluskan pemindahan dana itu kepada Fashion Valet.
Semasa pemeriksaan balas, Shamsiah bersetuju dengan peguam bela M Athimulan, bahawa sebaik sahaja wang itu dikreditkan dalam akaun Fashion Valet, ia menjadi sebahagian daripada baki tunai dan modal kerja syarikat tersebut.
Athimulan: Apabila dana PNB dikreditkan kepada Fashion Valet, ia menjadi sebahagian baki tunai dan modal kerja syarikat. Adakah anda setuju?
Shamsiah: Saya setuju.
Athimulan: Maybank tidak pernah menerima sebarang notis menghalang Fashion Valet memindah atau menggunakan dana itu untuk operasi perniagaan, pembayaran kepada pembekal, atau pendahuluan korporat?
Shamsiah: Saya setuju.
Athimulan: Daripada perspektif Maybank, Fashion Valet mempunyai akses penuh ke atas akaun itu melalui penandatangan yang diberi kuasa?
Shamsiah: Betul.
Shamsiah turut mengesahkan PNB tidak pernah mengarahkan Maybank membekukan dana tersebut atau menyekat akses Fashion Valet terhadapnya. Beliau selanjutnya bersetuju bahawa dirinya tidak mengetahui terma yang mengawal pelaburan antara PNB dan Fashion Valet.
Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Sobry, Shamsiah menjelaskan jawapan beliau terdahulu berkait Fashion Valet mempunyai akses penuh ke atas dana berkenaan hanya merujuk kepada akaun bank itu, memandangkan Maybank tidak menerima sebarang arahan daripada mana-mana pihak melarang penandatangan yang diberi kuasa syarikat daripada mengakses akaun itu.
Sebelum ini, mahkamah diberitahu Fashion Valet telah memindahkan RM8 juta kepada 30 Maple Sdn Bhd pada 21 Ogos 2018, dengan Vivy dan Fadzarudin bertindak sebagai penandatangan yang diberi kuasa bagi dua syarikat berkenaan.
Vivy dan Fadzarudin, keduanya 38 tahun, dituduh bersama pada 5 Dis 2024 atas pertuduhan melakukan CBT membabitkan dana pelaburan daripada Khazanah Nasional Bhd dan PNB dalam kapasiti mereka sebagai pengarah Fashion Valet Sdn Bhd.
Mereka didakwa melakukan CBT dengan membenarkan pembayaran RM8 juta daripada akaun bank korporat Fashion Valet kepada 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan daripada ahli Lembaga Pengarah syarikat.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Public Bank cawangan Bukit Damansara, pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat, dan denda jika sabit kesalahan.
Keduanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu salah guna harta secara tidak jujur milik Fashion Valet, iaitu RM8 juta dana pelaburan Khazanah dan PNB, di lokasi dan pada tarikh sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebat, dan denda jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan hakim Rosli Ahmad bersambung 17 Ogos. – FMT
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L