PETALING JAYA – Penutupan operasi Network School di Forest City, Johor, dijangka tidak memberi kesan besar terhadap keyakinan pelabur teknologi antarabangsa untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, menurut bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Kedua-dua tokoh itu berpandangan, syarikat teknologi multinasional yang sudah lama beroperasi di Malaysia memahami persekitaran perniagaan, dasar pelaburan serta sensitiviti sosial dan budaya negara, sekali gus tidak mudah dipengaruhi oleh kontroversi yang melibatkan Network School.
Khairy berkata, pemain pelaburan langsung asing (FDI) berskala besar lazimnya mempunyai pemahaman mendalam mengenai pasaran Malaysia dan mampu membezakan antara isu tertentu dengan keseluruhan ekosistem pelaburan negara.
Menurut beliau, syarikat teknologi besar yang telah mempunyai operasi di Malaysia lebih menilai aspek seperti kestabilan ekonomi, tenaga kerja, kemudahan infrastruktur dan sokongan kerajaan sebelum membuat keputusan pelaburan.
“Saya ada satu sangkaan bahawa pemain FDI besar mungkin tidak begitu terkesan. Mereka tidak terlalu ambil peduli kerana mereka sudah memahami perkara ini. Mereka lebih arif dari segi budaya dan persekitaran pelaburan.
“Jadi, mereka mungkin hanya akan mengetepikannya sahaja,” katanya menerusi audio siar Keluar Sekejap.
Kontroversi Network School tercetus selepas timbul dakwaan di media sosial berkaitan penyertaan warga Israel yang didakwa menggunakan pasport negara kedua untuk menyertai program berkenaan.
Isu itu mendapat perhatian kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan kemasukan pemegang pasport Israel ke negara ini secara amnya memerlukan kelulusan khas daripada pihak berkuasa.
Mengulas perkara itu, Shahril berkata pengasas Network School, Balaji Srinivasan, dilihat kurang mengambil kira sensitiviti politik dan budaya Malaysia, khususnya berkaitan isu Israel serta aspek kedaulatan negara.
Beliau berpandangan bahawa pendekatan yang lebih berhati-hati dan diplomatik diperlukan dalam menangani isu berkenaan, termasuk melalui komunikasi lebih rapat dengan pihak berkuasa serta mengelakkan persepsi bahawa mana-mana pihak cuba memudahkan perkara yang bertentangan dengan dasar negara.
Susulan perkembangan itu, Balaji yang juga bekas Ketua Pegawai Teknologi Coinbase dilaporkan menyatakan bahawa Network School akan mengetepikan rancangan pelaburannya di Malaysia.
Sebelum itu, Network School diarahkan menghentikan operasinya pada 22 Julai lalu selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membatalkan lesen perniagaan dan lesen pengiklanan berkaitan operasi tersebut.
Dalam pada itu, Khairy berkata, kontroversi tersebut mungkin memberi kesan dari sudut persepsi kepada komuniti teknologi yang lebih kecil, khususnya pengasas syarikat pemula yang sedang mempertimbangkan Malaysia sebagai pangkalan operasi.
Kata beliau, walaupun pelabur teknologi besar mungkin tidak terjejas secara langsung, isu seperti ini boleh memberi gambaran tertentu kepada pemain baharu yang masih menilai kesesuaian Malaysia sebagai hab inovasi.
Shahril pula berkata, terdapat sebahagian pemain teknologi tempatan yang secara peribadi mungkin mempunyai pandangan berbeza mengenai keputusan penutupan Network School, namun memilih untuk tidak menyuarakannya secara terbuka susulan reaksi kuat di media sosial.
Bagaimanapun, kedua-duanya berpandangan Network School sebelum ini agak terasing daripada ekosistem teknologi tempatan dan tidak mempunyai hubungan yang cukup kukuh dengan komuniti syarikat pemula Malaysia.
Shahril berkata, sebarang usaha menarik komuniti teknologi antarabangsa ke Malaysia perlu disertai strategi integrasi yang lebih menyeluruh dengan pemain tempatan, agensi kerajaan dan institusi berkaitan.
Menurut beliau, kerjasama lebih rapat dengan agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) boleh membantu memastikan manfaat projek teknologi antarabangsa dapat dirasai secara lebih jelas oleh negara, selain mengurangkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menegaskan, projek seperti Network School perlu dilihat dari sudut pelaburan jangka panjang terhadap pembangunan ekosistem teknologi, bukan hanya berdasarkan jumlah peluang pekerjaan atau kejayaan beberapa syarikat pemula.
Sementara itu, mereka turut menyentuh mengenai lawatan Menteri Digital, Gobind Singh Deo ke Network School sebelum kontroversi tercetus, yang menurut mereka berpotensi menjadi platform untuk menghubungkan inisiatif tersebut dengan agenda transformasi digital negara.
Mereka berpandangan, sekiranya integrasi antara komuniti teknologi antarabangsa, syarikat tempatan dan agensi kerajaan dapat diperkukuhkan, Malaysia masih mempunyai peluang besar untuk terus menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor teknologi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L