Pelajar, Penduduk Luar Bandar Teruja Sertai Minggu Sains Negara 2026

KUALA TERENGGANU – “Ledakan Sains” mewarnai pembukaan Karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang berlangsung di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), sekali gus mencetuskan sambutan meriah dalam kalangan pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat setempat untuk sama-sama menerokai dunia Sains yang penuh interaktif dan berinovasi.

Malah ada antara pengunjung yang juga pelajar sekolah sanggup menempuhi perjalanan jauh untuk hadir ke sini, semata-mata minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), yang membuka ruang pendedahan lebih luas kepada masyarakat luar bandar di negeri-negeri Pantai Timur.

“Jarak bukan halangan untuk minat kami hadir ke karnival Sains ini. Ada antara kami hadir bersama guru, begitu juga ada yang hadir bersama ibu bapa dan keluarga.

“Ianya satu pengalaman yang amat bermakna khususnya kepada kami dari luar bandar,” kata Nurina Raudah Jannah Zulkifli, pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah (SM) Seri Berang, Hulu Terengganu.

Suri rumah, Sanizaratna Mohd Shafiae, 44, pula memuji penganjuran karnival Sains ini tidak mengenakan sebarang bayaran masuk untuk selama tiga hari penganjuran berlangsung.

“Untuk keluarga besar seperti kami, apatah lagi ketika keadaan ekonomi tidak menentu, kos menjadi pertimbangan untuk sesuatu perkara. Jadi, hari ini kami manfaatkan sepenuhnya peluang dan ruang yang ada ini untuk merapatkan hubungan kekeluargaan pada hujung minggu ini.

“Sebenarnya, ini kali keempat kami menjejakkan kaki ke sini dan sememangnya apa yang ada di Pusat Sains ini tidak pernah membosankan. Kali ini kami hadir lebih ramai dengan sanak saudara,” ujar ibu kepada empat cahaya mata ini.

Bagi pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga, Mohd Azrie Mat Amin mengambil peluang pada hujung minggu untuk turut sama hadir ke karnival Sains bersama isterinya.

“Setiap kali cuti hujung minggu selalunya kami meluangkan masa di lain tempat tumpuan pelancong, cuma kali ini terdetik untuk hadir ke sini setelah mendapat tahu penganjuran ini dari rakan kami di kampung.

“Bagi saya, karnival Sains ini tidak hanya mampu menarik minat dari murid dan pelajar atau generasi muda, malah orang dewasa seperti kami ini juga.

“Pameran berkaitan bahaya radiasi dalam kehidupan seharian adalah satu benda baharu untuk saya dan isteri ketahui,” jelas pasangan dari Kampung Durian Guling, Marang.

Turut berlangsung adalah program ‘Jom Lari-Lari’ yang menjadi acara pembuka tirai pada hari pertama penganjuran berkonsepkan karnival dengan penglibatan dari pelbagai agensi berkaitan bidang STEM menjadi tambah nilai bagi edisi keempat ini yang dijadualkan melabuhkan tirai Isnin ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *