NEW YORK – Final Piala Dunia antara Sepanyol dan Argentina muncul acara sukan paling mahal pernah dianjurkan di Amerika Syarikat (AS) dari segi harga tiket di pasaran semula.
Menurut data platform jualan tiket sekunder, TickPick purata harga tiket bagi perlawanan itu mengatasi acara berprestij lain seperti Super Bowl dan Final NBA.
Harga tiket paling murah untuk memasuki stadium ketika ini adalah AS$6,943 (RM28,248) bagi satu tiket, sedikit menurun berbanding sekitar AS$7,200 (RM29,304) sebelum Argentina menewaskan England pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi.
Purata harga pembelian tiket pula mencecah AS$11,327 (RM46,101), sekali gus menjadi rekod tertinggi pernah dicatatkan.
Sehingga pagi tadi, pembelian tiket paling mahal yang direkodkan adalah dua tiket di Seksyen 115A Stadium MetLife dengan harga AS$28,479 (RM115,909) setiap satu atau AS$56,958 (RM231,818) bagi kedua-duanya.
Berdasarkan purata harga pembelian yang digunakan TickPick, berikut adalah acara sukan paling mahal dalam sejarah AS:
* Super Bowl LVIII 2024 (San Francisco 49ers mln Kansas City Chiefs): AS$9,411 (RM38,301)
* Super Bowl LV 2021 (Tampa Bay Buccaneers mln Kansas City Chiefs): AS$7,313 (RM29,764)
* Super Bowl LIV 2020 (Kansas City Chiefs mln San Francisco 49ers): AS$6,546 (RM26,643)
* Final NBA 2026, perlawanan ketiga (New York Knicks mln San Antonio Spurs): AS$6,308 (RM25,673)
Sementara itu, harga tiket paling murah bagi perlawanan penentuan tempat ketiga antara Perancis dan England adalah hampir AS$900 (RM3,663).
Harga tiket bagi perlawanan itu turut menurun kira-kira AS$300 (RM1,221) selepas England tewas kepada Argentina.
Piala Dunia 2026 juga dianggap kejohanan paling mahal dalam sejarah 96 tahun acara utama FIFA itu berdasarkan pelbagai ukuran utama.
Ketika kejohanan bermula bulan lalu, purata harga tiket adalah AS$1,622 (RM6,601) berdasarkan data SeatPick, sebelum meningkat kepada AS$4,162 (RM16,939) bagi aksi separuh akhir.
Bagaimanapun terdapat juga beberapa perlawanan yang menyaksikan harga tiket di pasaran semula merosot sepanjang kejohanan.
Antaranya aksi suku akhir yang mempertemukan Sepanyol dan Belgium.
Kedua-dua pasukan itu menyingkirkan AS dan Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo untuk mara ke perlawanan berkenaan, sekali gus menyebabkan harga tiket menjunam hampir 60 peratus. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L