Kemenangan Johor Bukti Rakyat Kembali Yakin Kepada UMNO – Ku Li

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai petanda jelas keyakinan rakyat terhadap UMNO semakin pulih selepas melalui tempoh mencabar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta seluruh kepimpinan dan jentera UMNO serta BN yang disifatkannya berjaya mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti itu melalui kepimpinan berkesan dan kerja keras yang berterusan.

Menurut beliau, walaupun tidak dapat bersama turun berkempen atas faktor kesihatan, kejayaan dicapai di Johor adalah hasil usaha berterusan kepimpinan negeri dan pusat yang tidak pernah berhenti mendampingi rakyat sejak diberi mandat mentadbir negeri berkenaan.

Tengku Razaleigh berkata, beliau mengenali Onn Hafiz dengan lebih dekat sejak pemilihan Presiden UMNO pada 2018 apabila pemimpin muda itu bersama pasukannya tampil memberikan sokongan kepadanya.

Katanya, sejak itu beliau melihat sendiri komitmen, disiplin dan kesungguhan Onn Hafiz dalam melaksanakan tanggungjawab politik serta membina kekuatan parti di peringkat akar umbi.

“Formula kepimpinan yang ditampilkan beliau kini terbukti membuahkan hasil apabila BN berjaya memperoleh kemenangan meyakinkan di Johor. Saya percaya beliau bersama pasukannya adalah antara kelompok pemimpin muda yang bakal menerajui UMNO pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut berpandangan, kemenangan di Johor mampu menjadi pemangkin kepada kebangkitan BN di negeri lain, khususnya Negeri Sembilan dan Melaka yang bakal menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Menurutnya, rakyat kini berpeluang menilai prestasi serta pendekatan baharu UMNO yang lebih progresif, lebih dekat dengan rakyat dan lebih peka terhadap isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian.

Katanya, naratif serta budaya kerja baharu dipamerkan kepimpinan UMNO Johor wajar dijadikan contoh kepada seluruh jentera parti di peringkat nasional dalam usaha memperkukuhkan semula sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN.

Dalam masa sama, Tengku Razaleigh menyifatkan kebangkitan yang sedang berlaku sebagai satu titik permulaan kepada proses pembaharuan parti, termasuk membuka lebih banyak ruang kepada pemimpin muda untuk mengambil alih kepimpinan UMNO dan negara pada masa hadapan.

Beliau berkata, semangat baharu yang mula dirasai dalam UMNO mengingatkannya kepada era kepimpinan awal parti di bawah Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn yang menurutnya menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang kuat, berprinsip dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Katanya, perjuangan asal UMNO berteraskan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan institusi negara dan kebajikan rakyat perlu terus dipertahankan sambil menyesuaikan pendekatan parti dengan cabaran politik semasa.

“Saya berasa amat bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk menyaksikan kebangkitan semula UMNO. Saya melihat munculnya satu generasi baharu yang berani melakukan perubahan tanpa mengabaikan asas perjuangan parti yang telah dibina sejak penubuhannya,” katanya.

Beliau berharap momentum kemenangan di Johor dapat diteruskan sehingga menjadi titik kebangkitan semula UMNO di seluruh negara, sekali gus melahirkan lebih ramai pemimpin muda berwibawa bagi meneruskan perjuangan parti pada masa hadapan.

Tengku Razaleigh turut mengucapkan tahniah kepada seluruh kepimpinan, jentera pilihan raya dan ahli-ahli UMNO serta BN atas kejayaan yang dicapai, sambil menyifatkan kemenangan tersebut sebagai permulaan kepada lembaran baharu buat parti itu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *