KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memperkenankan penarikan balik Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Isa Samad, berkuat kuasa pada 8 Jun lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut JPM, penarikan balik darjah kebesaran tersebut dibuat selepas Mohd Isa disabitkan kesalahan jenayah dan kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh, Selangor.
“Penarikan balik kurniaan ini adalah selaras dengan Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia di bawah Perenggan XXV dan XXVIA yang memperuntukkan bahawa darjah kebesaran boleh ditarik balik sekiranya penerima disabitkan dengan sesuatu kesalahan,” menurut kenyataan itu.
JPM turut memaklumkan bahawa keputusan berkenaan adalah susulan titah Seri Paduka Baginda berhubung penarikan balik darjah kebesaran yang dizahirkan sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara pada 7 September 2024.
Mohd Isa, 76, kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan beliau daripada pertuduhan rasuah.
Keputusan itu sekali gus mengembalikan sabitan bersalah, hukuman penjara serta denda yang dikenakan terhadap beliau oleh Mahkamah Tinggi.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi mendapati Mohd Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).
Beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta, selain berdepan tambahan hukuman penjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 6 Mac 2024 telah membebaskan beliau daripada semua pertuduhan sebelum keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan yang mengembalikan sabitan serta hukuman terhadap bekas pengerusi FELDA tersebut.
Penarikan balik gelaran Tan Sri itu menjadikan Mohd Isa antara penerima darjah kebesaran Persekutuan yang kehilangan gelaran susulan sabitan kesalahan jenayah mengikut peruntukan statut yang berkuat kuasa.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L