MEXICO CITY – Piala Dunia akan membuka tirai awal pagi Jumaat ini dengan FIFA mempertaruhkan tarikan abadi kejohanan bola sepak terbesar dunia itu untuk meredakan kemarahan terhadap harga tiket yang melambung, ketegangan politik di Amerika Syarikat (AS) di bawah pemerintahan Donald Trump serta bayangan konflik di Asia Barat.
Sebanyak 48 pasukan dan jutaan penyokong dijangka membanjiri AS, Mexico dan Kanada bagi edisi pertama kejohanan yang dianjurkan bersama tiga negara, sekali gus menjadi Piala Dunia terbesar dan paling kompleks dalam sejarah.
Saingan bermula di Stadium Azteca, Mexico City apabila tuan rumah Mexico menentang Afrika Selatan pada jam 3 petang waktu tempatan (3 pagi waktu Malaysia), menandakan permulaan acara hampir enam minggu yang akan berakhir di Stadium MetLife, New Jersey pada 19 Julai.
Antara tumpuan utama adalah Lionel Messi yang kini berusia 38 tahun, sama ada mampu menutup perdebatan status pemain terbaik sepanjang zaman dengan memimpin Argentina mempertahankan kejuaraan.
Pencabarnya Cristiano Ronaldo yang berusia 41 tahun pula akan cuba mengatasi cabaran usia untuk membawa Portugal menjulang kejuaraan dunia sulung, manakala England berharap Harry Kane dapat menamatkan penantian 60 tahun mereka sejak gelaran 1966.
Presiden FIFA, Gianni Infantino terus menyifatkan kejohanan itu sebagai “pentas paling hebat yang pernah disaksikan dunia”, namun keyakinannya berdepan kritikan hebat.
Kenaikan mendadak harga tiket menjadi antara isu utama apabila harga tiket paling mahal untuk final mencecah AS$32,970 (kira-kira RM133,000), berbanding sekitar AS$1,600 (RM6,500) pada edisi 2022.
Lonjakan harga itu turut berlaku bagi kebanyakan daripada 104 perlawanan, dengan banyak tiket masih tersedia di pasaran kedua walaupun permintaan tinggi.
Presiden AS, Donald Trump sendiri turut menyuarakan kejutan terhadap harga tiket, termasuk bagi perlawanan pertama tuan rumah bersama menentang Paraguay di Los Angeles.
“Ia terlalu mahal, saya pun tidak akan bayar harga itu,” katanya kepada New York Post.
Kumpulan hak asasi manusia Human Rights Watch memberi amaran dasar imigresen dan tindakan keras terhadap bantahan di AS boleh menjadikan Piala Dunia kali ini dibayangi suasana “pengecualian dan ketakutan”.
Kebimbangan itu turut diperkukuh apabila FIFA menggugurkan seorang pengadil dari Somalia selepas beliau dinafikan kemasukan ke AS ketika tiba di Miami.
Pada masa sama, Iran yang akan beraksi pada kejohanan ini turut berdepan isu visa apabila sebahagian kakitangan pentadbiran mereka tidak dibenarkan memasuki AS.
Dari sudut bola sepak, penambahan kepada 48 pasukan menjadikan format kejohanan lebih besar dengan 72 perlawanan peringkat kumpulan dan hanya 12 pasukan tersingkir sebelum peringkat kalah mati.
Sebanyak 32 pasukan akan mara ke pusingan seterusnya, termasuk lapan pasukan terbaik di tangga ketiga.
Beberapa perubahan turut diperkenalkan termasuk rehat pendinginan dalam setiap separuh masa, had masa 10 saat untuk melakukan pertukaran pemain, serta tindakan tegas terhadap perlakuan membuang masa.
Perlawanan akhir pula dijangka menjadi antara yang paling lama dalam sejarah selepas FIFA merancang persembahan separuh masa ala Super Bowl yang menampilkan Madonna, Shakira dan BTS, sekali gus memanjangkan rehat kepada kira-kira 25 minit. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L