Oleh Siti Khadijah Manudin
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dan kebimbangan susulan kejadian gempa bumi kuat yang melanda selatan Filipina pada pagi tadi.
Menerusi satu kenyataan di Facebook, beliau berkata Malaysia sentiasa bersama rakyat Filipina pada saat sukar ini dan bersedia untuk menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan.
“Kami menzahirkan rasa simpati dan mendoakan keselamatan rakyat Filipina yang terjejas akibat bencana tersebut,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut memaklumkan bahawa gegaran gempa bumi itu dirasai di beberapa kawasan di Sabah.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan sedang memantau perkembangan situasi dengan teliti, manakala pasukan perkhidmatan kecemasan berada dalam keadaan siap siaga untuk bertindak jika diperlukan.
Menurut beliau, Malaysia dan Filipina mempunyai hubungan persahabatan yang erat serta merupakan rakan dalam ASEAN.
Beliau turut mendoakan keselamatan, kesejahteraan dan kekuatan buat semua mangsa yang terkesan dalam menghadapi tempoh mencabar susulan bencana tersebut.
“Malaysia dan Filipina adalah sahabat rapat serta rakan ASEAN. Saya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua yang terjejas, serta berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi hari-hari mendatang,” katanya.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L