KATHMANDU – Seorang pemandu gunung Nepal yang disangka maut di Gunung Everest ditemui masih hidup selepas enam hari hilang, mendedahkan beliau bertahan dengan mengunyah ais dan memakan beberapa ketul coklat yang ditemui dalam poketnya.
Dawa Sherpa menjelaskan, dia tidak sesat ketika menuruni gunung, sebaliknya terpaksa ketinggalan selepas bekalan oksigen habis.
Sherpa yang sebelum ini dianggap terkorban, malah keluarganya di Kathmandu telah pun memulakan upacara penghormatan terakhir sebelum ditemukan oleh pasukan pembersih yang terserempak dengannya sedang merangkak turun ke arah Kem Pangkalan.
Dia kemudian dihantar ke hospital di Kathmandu dan kini menerima rawatan akibat dehidrasi, radang dingin serta kecederaan tulang.
“Saya tidak menyangka akan terus hidup. Saya fikir saya akan mati di situ,” katanya.
Sherpa kali terakhir dilihat oleh seorang pendaki, Chris Thrall berhampiran Kem 3 pada ketinggian kira-kira 7,500 meter ketika sedang berehat di atas beg galasnya.
Thrall kemudiannya meneruskan perjalanan bersama seorang lagi pendaki yang dalam keadaan lebih kritikal, meninggalkan Sherpa yang ketika itu dipercayai masih mampu bergerak.
Sherpa berkata, kesukarannya bermula apabila oksigen habis, menyebabkannya tidak lagi mampu berjalan.
“Saya tidak makan apa-apa selama dua hari pertama. Kemudian saya mula mengunyah ais, walaupun ia menyakitkan gigi,” katanya.
Dia kemudian menemui beberapa ketul coklat dalam poketnya dan mencairkan ais untuk diminum sebagai sumber air.
Dalam usaha menuruni gunung secara perlahan, Sherpa terjatuh ke dalam rekahan glasier yang dalam dan terperangkap selama kira-kira dua setengah hari tanpa jalan keluar.
Harapan mula muncul apabila runtuhan salji memenuhi rekahan tersebut, sekali gus membolehkannya berdiri dan mencari laluan keluar.
“Apabila saya memijak timbunan salji itu, saya rasa mampu keluar dari situ,” katanya.
Selepas berjaya keluar, dia menemui tali keselamatan yang membantu pergerakan turun dari gunung tertinggi dunia itu.
Walaupun berdepan satu lagi ancaman runtuhan salji, Sherpa tetap meneruskan perjalanan sepanjang malam hingga hampir ke Kem Pangkalan.
Di situ, dia akhirnya ditemui sekumpulan pekerja yang sedang mendaki untuk mengutip sisa di Everest sebelum dibantu turun ke lokasi selamat.
Kisah kelangsungan hidup Sherpa mencetuskan kejutan dalam kalangan komuniti pendaki dan keluarganya sendiri.
Ramai menyifatkan kejadian itu sebagai satu keajaiban, memandangkan Sherpa berjaya bertahan dalam keadaan ekstrem tanpa makanan, air dan oksigen tambahan.
Rakan pendakinya, Thrall, menyifatkan situasi itu sukar dipercayai.
“Satu ketika kita bersedih, kemudian tiba-tiba melihat dia kembali hidup — ia sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Isterinya, Damu Sherpa berkata, keluarga mereka telah hilang harapan selepas dimaklumkan usaha menyelamat tidak dapat dilakukan.
“Apa yang saya lihat sangat mengejutkan. Saya tidak percaya dia boleh pulang hidup,” katanya.
Anak perempuannya pula memaklumkan Sherpa kini dalam keadaan stabil dan mampu bercakap.
“Kami sangat gembira,” katanya.
Menurut pihak hospital, keadaan Sherpa kini stabil dan tahap dehidrasinya semakin pulih.
Kisahnya berlaku dalam musim pendakian Everest yang mencatat rekod kehadiran tertinggi, dengan lebih 1,000 pendaki berjaya menawan puncak tahun ini.
Namun, sekurang-kurangnya lima kematian turut dilaporkan sepanjang musim tersebut, menjadikannya antara musim paling mencabar dalam sejarah pendakian gunung itu. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L