FUKUSHIMA – Seekor beruang yang bersembunyi di dalam sebuah kilang syarikat elektronik di Fukushima selepas menyerang empat individu, berjaya meloloskan diri dipercayai dengan membuka sendiri selak tingkap, lapor Kyodo News memetik pegawai bandar raya pada Khamis.
Beruang itu dipercayai melarikan diri pada malam Rabu ketika pihak berkuasa sedang bersiap sedia melaksanakan langkah pemburuan kecemasan, termasuk membenarkan penggunaan senjata api oleh pihak perbandaran.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan terbabit diminta terus berwaspada.
Menurut pegawai bandar raya, seorang anggota polis yang memantau kawasan kilang melihat beruang itu memanjat pagar kira-kira 10.50 malam Rabu.
Pemeriksaan di kilang Oki Sympho-Tech Co. menemukan koyakan pada jaring tingkap serta beberapa kesan lain, menunjukkan haiwan itu mungkin keluar melalui tingkap selepas membuka penguncinya dan menolak tingkap berkenaan.
“Kami turut melihat beruang itu meletakkan kedua-dua kaki hadapannya pada paip air untuk minum. Kami percaya haiwan itu sangat bijak,” kata Datuk Bandar Fukushima Yuki Baba pada sidang media.
Pihak bandar raya sebelum itu memasang empat perangkap di kilang berkenaan dan membenarkan penggunaan senapang pelali kerana terdapat bahan mudah terbakar di lokasi itu.
Beruang itu ditembak dengan anak panah pelali, namun pemeriksaan kemudian mendapati bahan pelali tidak berjaya masuk ke dalam badannya.
“Bukan kerana kami mengabaikan usaha menangani situasi itu, tetapi kami tetap kesal dengan kejadian beruang itu meloloskan diri,” kata Baba.
Operasi menjejaki haiwan itu menggunakan dron bermula pada petang Khamis, manakala sekolah rendah dan menengah rendah berhampiran beralih kepada pembelajaran dalam talian.
Pelajar dijadualkan kembali mengikuti kelas secara bersemuka pada Jumaat.
Menurut pihak berkuasa, beruang itu memasuki premis pengeluar komponen Fukushima Steel Works Co. di kawasan Sasakino kira-kira 6.30 pagi Selasa dan menyerang dua pekerja.
Haiwan itu kemudian menyerang seorang individu di sebuah kediaman berhampiran sebelum menyerang seorang lagi di Oki Sympho-Tech.
Secara keseluruhan, empat lelaki dan wanita berusia antara 20-an hingga 80-an cedera dalam serangan itu, termasuk mengalami patah tulang muka, namun tiada kecederaan yang mengancam nyawa. – BERNAMA-KYODO
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L