WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengumumkan penamatan misi mengkaji atmosfera dan evolusi Marikh selepas enam bulan terputus hubungan dengan pesawat angkasa peninjau.
Pesawat angkasa peninjau dikenali sebagai MAVEN (Mars Atmosphere and Volatile Evolution) itu mula memasuki orbit Marikh pada 2014.
Misi itu pada asalnya dirancang beroperasi selama satu hingga dua tahun, namun pesawat angkasa berkenaan kekal aktif lebih sedekad sebelum terputus hubungan dengan bumi pada Disember lalu.
Selepas beberapa bulan tanpa sebarang komunikasi, NASA mengesahkan kehilangan pesawat angkasa itu yang dipercayai masih berada dalam orbit Marikh.
Agensi angkasa lepas AS itu berkata siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kehilangan hubungan dengan pesawat angkasa berkenaan.
Profesor astrofizik yang terbabit dalam misi itu, Shannon Curry, menyifatkan MAVEN sebagai misi Marikh terbaik pernah dilaksanakan.
Beliau berkata pesawat angkasa itu membantu saintis memahami fenomena kehilangan atmosfera, iaitu proses gas atmosfera terlepas ke angkasa lepas.
“Kini kami memahami kehilangan atmosfera di Marikh dengan lebih baik berbanding mana-mana planet lain, termasuk bumi.
“Marikh menjadi makmal semula jadi yang amat berharga untuk memahami atmosfera planet berbatu,” katanya.
Ketua program penerokaan NASA, Tiffany Morgan berkata, MAVEN memberi sumbangan besar dalam meningkatkan pemahaman mengenai atmosfera Marikh, sejarah iklim dan potensi kebolehdiaman planet itu.
MAVEN juga berfungsi sebagai penghubung komunikasi antara bumi dan robot peneroka NASA yang beroperasi di permukaan planet merah itu.
Tugas berkenaan kini akan diambil alih oleh satelit pengorbit lain di sekitar Marikh. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L