Oleh Siti Khadijah Manudin
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerima kunjungan hormat Gabenor Wilayah Fergana, Uzbekistan, Hayrullo Khayitbayevich Bazarov, yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bersama Duta Uzbekistan ke Malaysia, Dr. Karomidin Gadoev.
Dalam pertemuan itu, kedua pihak membincangkan potensi kerjasama strategik antara Selangor dan Wilayah Fergana dalam pelbagai sektor ekonomi, teknologi dan pembangunan mampan.
Amirudin berkata, Wilayah Fergana merupakan antara wilayah paling maju di Uzbekistan dengan kekuatan dalam sektor pertanian, pembuatan, logistik dan industri yang berkembang pesat.
Menurut beliau, perbincangan tertumpu kepada usaha membina kerjasama yang praktikal dan saling menguntungkan antara kedua wilayah, sekali gus memperkukuh hubungan di peringkat negeri.
Beliau turut berkongsi kelebihan Selangor sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia, termasuk dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, ekosistem semikonduktor, industri halal, aeroangkasa, sains hayat, pusat data dan ekonomi digital.
“Kami turut meneroka peluang kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan, khususnya dalam industri berasaskan teknologi yang boleh memanfaatkan kekuatan kedua-dua wilayah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Selain itu, isu keselamatan makanan dan kerjasama agroindustri turut menjadi fokus utama perbincangan, yang mana Wilayah Fergana menyatakan minat untuk memperluaskan eksport produk pertanian ke Malaysia serta meningkatkan hubungan logistik antara Asia Tengah dan Asia Tenggara.
Kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai penyelesaian cabaran pengangkutan dan rantaian bekalan bagi memudahkan aliran perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua wilayah.
Dalam aspek kelestarian alam sekitar, Amirudin berkata Selangor bersedia berkongsi pengalaman dalam pengurusan air dan pembangunan infrastruktur, termasuk melalui pertukaran kepakaran teknikal yang melibatkan Air Selangor.
Beliau turut menyambut baik cadangan Fergana untuk memperkukuh kerjasama institusi menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Selangor dan Wilayah Fergana pada masa hadapan.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan perbincangan serta menggalakkan lawatan balas melibatkan agensi kerajaan dan wakil industri bagi mengenal pasti bidang kerjasama yang lebih konkrit,” katanya.
Amirudin menegaskan Selangor komited untuk membina hubungan strategik dengan wilayah dan negara yang berkongsi aspirasi dalam mencapai pertumbuhan mampan, inovasi serta kemakmuran bersama.
Dalam kunjungan itu, beliau turut menerima hadiah berupa doppi, iaitu kopiah tradisional Uzbekistan, dan chopon, kot bersulam tradisional yang mempunyai nilai budaya yang tinggi.
Beliau menyifatkan pemberian tersebut sebagai satu penghormatan dan simbol persahabatan yang dapat memperkukuh hubungan antara Selangor dan Uzbekistan.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L