KUALA LUMPUR – Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara membuka kempen Kumpulan B saingan Kejuaraan B-19 ASEAN dengan langkah kanan apabila menewaskan Singapura 3-0 di Stadium Teladan, Medan, Indonesia, sebentar tadi.
Skuad Harimau Malaya B-19 yang dilihat lebih menguasai permainan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi Arif Aiman Zaaba yang menyudahkan sepakan sudut Arayyan Hakeem Norizam.
Selang seminit kemudian, anak buah Nafuzi Zain mendapat peluang untuk menambah gol kedua, namun rembatan leret Tengku Hasyri Shah Meerza Tengku Hazman sekadar singgah di tiang gol.
Kekecewaan itu bagaimanapun ditebus Abid Safaraz Rozaidi yang mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-39 untuk skuad negara memasuki bilik persalinan pada rehat separuh masa dengan kedudukan lebih selesa.
Tengku Hasyri terus menceriakan kem negara pada minit ke-61 apabila dia bijak memperdaya pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan lencong untuk menewaskan penjaga gol Singapura, Ilhan Hady Bin Mohamed Rezal buat kali ketiga.
Meskipun ketinggalan tiga gol, Singapura tetap cuba untuk bangkit dengan melancarkan beberapa gerakan, namun Harimau Malaya B-19 berjaya mempertahankan kubu mereka dari dibolosi hingga wisel penamat.
Keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya B-19 berada di kedudukan kedua kumpulan, terikat tiga mata bersama Thailand yang membelasah Brunei 9-0 pada aksi petang tadi.
Skuad Harimau Malaya B-19 seterusnya akan menentang Brunei, Jumaat ini juga di Stadium Teladan sebelum menempuh perlawanan terakhir peringkat kumpulan berdepan Thailand (Isnin ini) di Stadium Madya 1.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L