PADANG BESAR — UMNO Bahagian Padang Besar mencadangkan agar sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) baharu diwujudkan khusus bagi kawasan Padang Besar susulan perkembangan pesat projek Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP).
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais berkata, penubuhan Majlis Perbandaran Padang Besar (MPPB) dilihat penting bagi memastikan pembangunan kawasan itu dapat dirancang dan diurus secara lebih tersusun serta berfokus.
Menurut beliau, projek CVIA yang dicetuskan pada tahun 2013 ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) bertujuan menjadikan Lembah Chuping sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baharu di Perlis melalui pembangunan sektor industri, pendidikan dan komersial.
“Dengan keluasan kira-kira 3,000 ekar, CVIA dijangka mampu menyediakan lebih 12,000 peluang pekerjaan sekiranya dilaksanakan sepenuhnya mengikut perancangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, antara komponen utama yang menjadi pemangkin kepada pembangunan tersebut ialah projek Perlis Inland Port (PIP) yang bakal muncul sebagai pelabuhan darat terbesar di utara Semenanjung Malaysia.
Katanya, projek yang dilancarkan pada Mac 2022 itu dijangka membantu mengurangkan kesesakan di Padang Besar Container Terminal, selain memperkukuhkan perdagangan Malaysia-Thailand serta menjadikan Perlis sebagai hab logistik serantau.
“Gabungan CVIA dan PIP bakal mewujudkan satu ekosistem ekonomi baharu yang merangkumi sektor industri pembuatan, logistik dan pergudangan, perdagangan rentas sempadan, industri halal, teknologi hijau serta pelaburan asing,” katanya.
Tambah beliau, perkembangan pesat kedua-dua projek itu memerlukan satu agensi pentadbiran khusus bagi merancang pembangunan bandar Padang Besar secara berterusan sebagai hab industri, logistik dan perdagangan antarabangsa baharu di utara negara.
Menurutnya, ketika ini negeri Perlis hanya mempunyai satu Majlis Perbandaran iaitu Majlis Perbandaran Kangar yang mentadbir keseluruhan negeri.
“UMNO Padang Besar akan mengemukakan usul supaya Majlis Perbandaran Padang Besar diwujudkan bagi mempercepat urusan pembangunan dan meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.
Beliau berkata, kewujudan PBT sendiri akan membolehkan proses kelulusan pembangunan dan infrastruktur dijalankan dengan lebih pantas selain membantu penyusunan zon industri serta pengurusan pelaburan secara lebih fokus.
Katanya lagi, Padang Besar kini bukan lagi sekadar pekan sempadan biasa, sebaliknya berkembang sebagai pintu masuk utama perdagangan rentas sempadan yang menempatkan kompleks imigresen, kastam dan kuarantin (ICQS) serta laluan utama pengangkutan darat dan kereta api antara Malaysia dan Thailand.
“Penubuhan MPPB diyakini mampu mewujudkan pusat pertumbuhan ekonomi kedua di Perlis selain membantu mengimbangi pembangunan antara Kangar dan kawasan utara negeri serta mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L