Orang Asli Sertai Misi Jejak Jaslinda

Oleh NurFarhana Zulkeply

TAPAH – Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, memasuki fasa baharu apabila komuniti Orang Asli tampil membantu usaha mengesan mangsa yang belum ditemui.

Penglibatan komuniti Orang Asli yang arif dengan selok-belok hutan di kawasan berkenaan dilihat mampu membantu pasukan SAR meneliti laluan-laluan yang sukar diakses serta kawasan yang berpotensi menjadi lokasi mangsa berada.

Operasi SAR yang memasuki hari kesembilan itu sebelum ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perhutanan.

Jaslinda, 49, dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih pada 24 Mei lalu.

Sebelum ini, pasukan SAR menemui beberapa petunjuk yang dipercayai milik mangsa, selain memperoleh rakaman kamera pemantauan hidupan liar yang menunjukkan pergerakannya menuju ke Kem Sukaneka.

Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih gagal dikesan meskipun operasi pencarian dijalankan secara berterusan melibatkan pencarian darat, udara serta penggunaan pelbagai aset dan teknologi.

Penglibatan komuniti Orang Asli memberi harapan baharu kepada ahli keluarga dan pasukan penyelamat dalam usaha menjejaki Jaslinda, memandangkan pengetahuan mereka mengenai bentuk muka bumi serta laluan hutan di kawasan berkenaan.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.        

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *