Oleh: Muhammad Izmer Yusof

KEPUTUSAN UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mempertimbangkan pendekatan bertanding secara solo di Johor bukan sekadar strategi pilihan raya negeri biasa. Ia boleh dilihat sebagai satu “litmus test”, iaitu ujian penentu politik yang sangat penting bagi menentukan hala tuju gabungan itu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.
Johor mempunyai kedudukan yang cukup istimewa dalam sejarah politik UMNO. Negeri ini sering dianggap sebagai antara kubu tradisional terkuat parti tersebut sejak era awal kemerdekaan. Malah, Johor juga dikenali sebagai antara “seat of power” UMNO kerana pengaruh struktur akar umbi, budaya politik Melayu tradisional serta kekuatan jentera parti yang masih bertahan sehingga hari ini.
Walaupun landskap politik negara berubah selepas PRU-14 tahun 2018 dan PRU ke-15 tahun 2022, Johor masih menunjukkan UMNO BN belum hilang sepenuhnya pengaruh tradisionalnya. Sebab itu keputusan untuk bergerak secara solo membawa mesej politik yang jauh lebih besar daripada sekadar perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hakikatnya, UMNO sedang mencari jawapan kepada persoalan besar mengenai masa depan parti. Adakah formula kerjasama besar masih relevan? Atau adakah UMNO sebenarnya lebih kuat apabila kembali menggunakan identiti asal BN tanpa bergantung kepada mana mana gabungan lain?
Semua persoalan ini sedang diuji di Johor. Ujian pertama iaitu adakah sokongan UMNO meningkat apabila bergerak solo, dan persoalan paling utama ialah sama ada sokongan tradisional terhadap UMNO BN akan kembali meningkat sekiranya parti itu bertanding secara solo.
Sejak pembentukan kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), terdapat sebahagian penyokong akar umbi UMNO yang masih sukar menerima kerjasama tersebut.
Walaupun pimpinan tertinggi parti menjelaskan kerjasama itu dibuat atas dasar kestabilan politik negara, realitinya di peringkat bawah masih wujud rasa tidak selesa khususnya dalam kalangan pengundi tradisional Melayu.
Di banyak kawasan luar bandar dan separa bandar, sentimen terhadap PH belum benar benar hilang. Dalam keadaan itu, UMNO mungkin melihat pendekatan solo sebagai usaha untuk mengembalikan semula keyakinan penyokong lama yang sebelum ini beralih kepada Perikatan Nasional (PN).
Jika UMNO BN berjaya meningkatkan jumlah undi atau kerusi di Johor secara solo, ia akan menjadi petunjuk bahawa identiti tradisional BN masih mempunyai nilai politik yang kuat. Ini penting kerana dalam politik, persepsi sering menjadi faktor yang menentukan momentum.
Kemenangan di Johor bukan sahaja memberi keyakinan kepada akar umbi, malah boleh mengubah naratif nasional bahawa UMNO masih relevan sebagai kuasa utama politik Melayu.
Ujian kedua iaitu penerimaan rakyat terhadap strategi solo. Selain soal peningkatan undi, Johor juga menjadi medan untuk melihat sama ada rakyat menerima pendekatan solo tersebut.
Dalam politik moden Malaysia, kemenangan tidak lagi bergantung semata mata kepada kekuatan jentera. Faktor persepsi terhadap kepimpinan, kestabilan politik, ekonomi dan hala tuju negara turut memainkan peranan besar.
Sekiranya rakyat Johor menerima pendekatan solo UMNO BN, ia akan memberi keyakinan besar kepada parti untuk mempertimbangkan formula sama dalam PRU16 nanti. Ini khususnya di negeri negeri yang masih dianggap kubu kuat UMNO seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.
Lebih penting, kemenangan solo akan memberi ruang kepada UMNO untuk membina semula identiti politiknya sendiri. Selepas beberapa tahun berada dalam pelbagai bentuk kerjasama politik, UMNO mungkin mahu kembali menonjolkan dirinya sebagai parti dominan Melayu tanpa terlalu bergantung kepada gabungan besar.
Dalam konteks ini, Johor menjadi medan psikologi politik yang sangat penting. Jika solo gagal, Johor menjadi amaran awal kepada UMNO. Namun, strategi solo juga mempunyai risiko yang besar.
Sekiranya keputusan pilihan raya menunjukkan pengurangan kerusi atau undi berpecah sehingga memberi kelebihan kepada lawan, Johor akan menjadi amaran awal bahawa pendekatan solo bukan formula terbaik untuk PRU16.
Bagaimanapun, Johor masih dianggap tempat paling sesuai untuk melakukan eksperimen politik ini kerana risikonya lebih rendah berbanding negeri lain. Berbeza dengan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang kini lebih cenderung kepada PN, Johor dan Melaka masih mempunyai struktur akar umbi UMNO yang kuat.
Justeru, sekiranya eksperimen solo mahu dilakukan, Johor merupakan negeri yang paling selamat untuk mengujinya sebelum strategi lebih besar digunakan di peringkat nasional.
Jika gagal sekalipun, UMNO masih mempunyai masa untuk menyusun semula percaturan sebelum PRU16.
Dalam masa sama, UMNO BN juga perlu memberi perhatian serius terhadap kemunculan parti baharu BERSAMA yang diumumkan oleh Rafizi Ramli.
Walaupun parti itu belum diuji dalam pilihan raya sebenar, kewujudannya berpotensi menjadi faktor penting yang mengubah landskap persaingan politik negara.
BERSAMA dijangka mempunyai daya tarikan terhadap sebahagian penyokong reformasi, kelompok bandar dan pengundi muda yang sebelum ini menyokong Parti Keadilan Rakyat atau PH.
Dalam sistem pilihan raya Malaysia yang menggunakan konsep “first past the post”, perpecahan kecil undi boleh memberi kesan besar terhadap keputusan kerusi.
Kadangkala kehilangan lima hingga sepuluh peratus undi sahaja sudah cukup untuk menyebabkan kekalahan sesuatu parti. Sebab itu kemunculan BERSAMA boleh dianggap sebagai “hidden blessing” kepada UMNO BN dan juga PN.
Parti itu mungkin tidak perlu menang banyak kerusi untuk memberi kesan. Kehadirannya sahaja sudah cukup untuk memecahkan blok undi tertentu. Jika berlaku pertandingan empat penjuru antara BN, PH, PN dan BERSAMA, persaingan akan menjadi jauh lebih terbuka dan sukar diramal.
Apa yang menarik ialah UMNO mungkin tidak perlu menggunakan satu formula yang sama di seluruh negara. Politik Malaysia hari ini terlalu kompleks untuk menggunakan pendekatan tunggal. Sebaliknya, strategi campuran atau “mix strategy” mungkin lebih realistik menjelang PRU16.
Di negeri-negeri yang masih menjadi kubu kuat UMNO seperti Johor dan Melaka, pendekatan solo boleh digunakan untuk mengembalikan identiti asal BN serta menarik semula pengundi Melayu tradisional. Sebaliknya di negeri negeri yang UMNO lemah atau hampir lumpuh, strategi kerjasama mungkin lebih praktikal bagi mengelakkan perpecahan undi.
Ini menunjukkan fleksibiliti strategi bakal menjadi kunci utama survival politik UMNO dalam menghadapi PRU16. UMNO perlu memahami pola pengundian setiap negeri kini berbeza. Strategi yang berkesan di Johor tidak semestinya berjaya di Kedah atau Kelantan.
Oleh itu, pendekatan lebih pragmatik dan bersifat lokaliti mungkin lebih sesuai dalam landskap politik semasa. Akhirnya, Johor kini bukan sekadar medan pilihan raya negeri biasa. Negeri ini sedang berubah menjadi penentu naratif besar politik Malaysia menjelang PRU16.
Keputusan UMNO BN untuk mempertimbangkan pendekatan solo di Johor akan menjawab beberapa persoalan penting. Adakah pengundi Melayu akan kembali menyokong UMNO apabila parti itu bergerak sendiri? Adakah rakyat menerima formula solo? Dan adakah strategi ini boleh diperluaskan ke peringkat nasional?
Dalam masa sama, faktor baharu seperti kemunculan BERSAMA serta kemungkinan perpecahan dalam PH turut menjadikan persaingan politik akan datang lebih kompleks.
Apa yang berlaku di Johor bakal memberi petunjuk awal mengenai bentuk persaingan PRU16 nanti. Jika solo berjaya, UMNO mungkin kembali yakin untuk bergerak sendiri di beberapa negeri utama. Jika gagal, parti itu masih mempunyai masa untuk menyusun semula strategi dan membina kerjasama baharu.
Apa pun keputusannya, satu perkara jelas iaitu Johor kini menjadi “litmus test” paling penting bagi menentukan masa depan UMNO BN dalam politik Malaysia pasca PRU15.
Muhammad Izmer Yusof adalah Pensyarah Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis UniMAP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L