SCIB kembali catat untung pada suku pertama

KUALA LUMPUR – Syarikat pembinaan, Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) kembali mencatat keuntungan apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.13 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan syarikat hari ini, SCIB turut mencatat hasil kumpulan sebanyak RM59.30 juta bagi tempoh sama.

Prestasi itu menunjukkan pemulihan ketara apabila kerugian sebelum cukai bagi operasi berterusan berjaya dikurangkan kepada RM1.40 juta berbanding kerugian RM27.77 juta pada suku sebelumnya.

SCIB turut merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM0.44 juta pada suku pertama, didorong pengiktirafan kerja pembinaan yang lebih kukuh daripada projek semasa.

Di bawah operasi berterusan yang memberi tumpuan kepada aktiviti Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC), hasil syarikat meningkat 32.8 peratus kepada RM26.95 juta berbanding RM20.30 juta pada suku terdahulu.

Pemulihan itu turut disokong langkah penyusunan semula perniagaan menerusi pelupusan unit pembuatan, SCIB Concrete Manufacturing Sdn Bhd (SCM), pada nilai pertimbangan tunai RM113 juta.

Walaupun segmen pembuatan itu kini diklasifikasikan sebagai operasi dihentikan, ia masih menyumbang hasil sebanyak RM32.35 juta dan PBT berjumlah RM4.42 juta, disokong jualan stabil cerucuk asas serta produk Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Pengurangan kerugian di bawah operasi berterusan menunjukkan bahawa tumpuan kami terhadap disiplin pelaksanaan dan pengurusan kos mula menunjukkan hasil,” kata Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif SCIB, Datuk Chong Loong Men.

Bagi mengukuhkan lagi proses penjajaran semula syarikat, Loong Men dilantik semula menerajui lembaga pengarah bagi menyokong inisiatif transformasi syarikat.

Pada masa sama, Ku Chong Hong melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada peranan sebagai Pengarah Urusan.

SCIB turut melantik Michael Tan Thian Zhi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu yang dijangka membawa kepakaran teknikal serta pengalaman pengurusan strategik bagi memacu fasa pertumbuhan seterusnya.

Dari segi prospek, syarikat giat membina semula saluran projek termasuk memperoleh kontrak baharu bernilai RM32.8 juta bagi pembinaan SMK Balaban Jaya di Beluran, Sabah.

SCIB kekal optimis terhadap prospek perniagaannya dengan sokongan perbelanjaan infrastruktur berterusan di Sabah dan Sarawak, namun terus berwaspada terhadap cabaran seperti tekanan kos projek serta turun naik harga bahan mentah.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *