Bekalan air Kelantan belum mencukupi, kerajaan negeri tambah 17 loji baharu

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan mengakui kapasiti bekalan air semasa di negeri itu belum mampu memenuhi permintaan pengguna, sekali gus menyebabkan beberapa kawasan terus berdepan gangguan bekalan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Izani Husin berkata, 43 Loji Rawatan Air (LRA) sedia ada di bawah pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) ketika ini hanya mampu menghasilkan 529 juta liter air sehari.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan beberapa jajahan termasuk Tumpat dan Pasir Mas serta beberapa kawasan lain masih mengalami masalah bekalan air tidak stabil.

“Ketika ini hanya Jeli dan Gua Musang dilaporkan berada dalam keadaan baik. Secara keseluruhannya, kapasiti sumber air kita belum mencukupi untuk disalurkan kepada rakyat.

“Justeru, kita perlu mengawal agihan bekalan air mengikut keperluan semasa di kawasan tertentu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat Status Semasa Bekalan Air Negeri Kelantan dan Persediaan AKSB sempena Aidiladha di sini pada Ahad.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah memulakan pembinaan tambahan 17 LRA baharu sejak 2023 bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air di seluruh negeri.

Katanya, semua projek itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030 dan bakal menjadikan jumlah keseluruhan loji rawatan air di Kelantan meningkat kepada 60 buah.

“Dengan penambahan itu, kapasiti bekalan air dijangka meningkat kepada 884 juta liter sehari dan masalah air dapat dikurangkan dengan ketara walaupun mungkin tidak dapat diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Mengulas persiapan menghadapi Aidiladha beliau berkata, kerajaan negeri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengenal pasti beberapa lokasi strategik untuk pemasangan tangki air statik bagi membantu pengguna yang terjejas.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan pengguna AKSB memanfaatkan aplikasi MyAKSB untuk memudahkan urusan semakan bil, pembayaran, aduan serta menerima notifikasi berkaitan gangguan bekalan air.

“Setakat ini hanya sekitar 30,000 pengguna atau 10 peratus daripada hampir 300,000 akaun pelanggan AKSB memuat turun aplikasi tersebut.

“Aduan di media sosial tanpa maklumat lengkap menyukarkan pihak AKSB mengambil tindakan susulan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *