SEREMBAN – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 yang bermula hari ini ditangguhkan kepada tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun selepas istiadat pembukaan persidangan itu yang disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pagi tadi.
“Sidang dewan kita tangguh kepada tarikh yang bersesuaian mengikut keadaan,” katanya kepada pemberita di Lobi Wisma Negeri di sini.
Sidang DUN itu sepatutnya dijadual berlangsung selama empat hari bermula hari ini dan bersambung semula pada 27 April.
Terdahulu, Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan Datuk MK Ibrahim Abd Rahman turut membuat pengumuman penangguhan itu di dalam dewan persidangan selepas titah diraja pagi ini.
Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa serta kepentingan untuk memastikan kelancaran perjalanan sidang DUN akan datang.
MK Ibrahim berkata kerajaan negeri akan mendapatkan satu tarikh baharu untuk diperkenankan Tuanku Muhriz sebelum notis diedarkan kepada semua ahli dewan.
“Perasmian hari ini cukup syarat sebab itu ia boleh ditangguh. Kalau tidak cukup syarat, tidak boleh tangguh…hari ini perasmian cuma titah Tuanku Muhriz sahaja. Persidangan hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh akan dimaklumkan kelak.
“Saya harap apa yang berlaku di Negeri Sembilan nanti, sebelum kita bersidang akan datang dapat dijernihkan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan persidangan yang sepatutnya dijadualkan bersambung pada Isnin hingga Rabu depan ditangguhkan atas budi bicara beliau sebagai pengerusi dewan. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L