KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemain industri pertahanan dan aeroangkasa global supaya memperkukuh kerjasama dengan pengeluar tempatan, selaras usaha Malaysia memperluas peranan dalam rantaian bekalan bernilai tinggi.
Beliau berkata, syarikat tempatan telah membuktikan keupayaan melalui tahap ketepatan dan akauntabiliti tinggi dalam rantaian bekalan komersial, yang juga relevan dalam sektor pertahanan aeroangkasa.
Menurutnya, Malaysia mengamalkan dasar berkecuali aktif yang membolehkan negara mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai rakan strategik, sekali gus memudahkan integrasi syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global tanpa kekangan geopolitik.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pameran Defence Services Asia (DSA) and NATSEC Asia 2026 yang menghimpunkan pelbagai pemain industri pertahanan dan keselamatan dari dalam serta luar negara.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan komited mewujudkan persekitaran perniagaan yang stabil termasuk perlindungan harta intelek, penguatkuasaan kawalan perdagangan strategik serta pelaksanaan undang-undang secara adil.
Beliau turut menekankan kepentingan tadbir urus bertanggungjawab terhadap teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, sistem autonomi dan keupayaan siber yang semakin berkembang pesat.
Tambahnya, kerajaan bersedia mengambil tindakan segera bagi menambah baik sebarang kelemahan dalam sistem sedia ada demi memastikan daya saing industri negara terus diperkukuh di peringkat antarabangsa. – BERNAMA
Berita ini diolah semula oleh Siti Khadijah Manudin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L