KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi parti susulan keputusan menerima semula permohonannya sebagai ahli.
Dalam satu kenyataan, bekas Menteri Kesihatan itu menzahirkan ucapan terima kasih khusus kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kebijaksanaan serta pertimbangan yang diberikan dalam membuat keputusan tersebut.
Beliau turut menghargai peranan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menurutnya telah membuat keputusan berkenaan dengan penuh hikmah serta mengambil kira masa depan perjuangan parti.
Advertisement

“Saya menerima keputusan ini dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran serta menyedari amanah besar yang hadir bersamanya,” katanya.
Menurut Khairy, tempoh berada di luar parti sebelum ini telah memberinya ruang untuk melakukan muhasabah diri serta menilai semula kelemahan yang perlu diperbaiki.
Beliau menegaskan, kepulangannya ke dalam UMNO bukan disertai sebarang tuntutan, sebaliknya didorong oleh tekad untuk kembali berkhidmat dan menyumbang kepada pengukuhan parti.
“Saya kembali bukan dengan sebarang tuntutan, tetapi dengan tekad untuk berkhidmat dan menyumbang sebaik mungkin kepada kekuatan UMNO,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua peringkat kepimpinan serta akar umbi parti dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap UMNO.
Khairy turut berharap keputusan berkenaan dapat menjadi titik permulaan baharu kepada parti untuk bergerak ke hadapan dengan lebih bersatu, matang dan berwibawa dalam mendepani cabaran politik semasa.
Perkembangan ini dilihat sebagai antara langkah penting dalam usaha memperkukuh semula parti itu menjelang landskap politik yang semakin mencabar.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L