KOTA BHARU – Sembilan pemain industri dan institusi di Kelantan menerima Sijil Pentauliahan Akademi Dalam Industri (ADI) sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam memperkukuh pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan industri di negeri ini.
Penerima pentauliahan berkenaan melibatkan Pusat Latihan Pertanian Al-Falah di bawah Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad, Huffaz Agro Farm, Maahad Tahfiz Darul Ulum, Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan, Maahad Muhammadi Gua Musang, Pondok Pengajian Islam, Pondok Ar-Rahmaniah Darul Quran, Pondok Dakwah Islamiyyah Sri Permai serta Pusat Pembangunan Kemahiran Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali berkata, pentauliahan tersebut mencerminkan tahap komitmen tinggi pelbagai pihak dalam memastikan program latihan kemahiran yang dilaksanakan memenuhi standard ditetapkan selain selari dengan keperluan industri semasa.
Menurut beliau, penghargaan turut diberikan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kelantan yang berperanan sebagai perancang utama pembangunan ekonomi negeri, sekali gus memastikan agenda TVET dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.
Katanya, sinergi antara data ekonomi yang dibekalkan UPEN dan kepakaran teknikal JPK menjadi formula berkesan dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran yang tepat serta memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Majlis TVET Negeri Kelantan memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam menghubungkan dasar di peringkat Persekutuan dengan keperluan negeri, sekali gus memastikan ekosistem TVET bergerak secara tersusun dan berkesan.
“Tahniah kepada Majlis TVET Negeri Kelantan atas kejayaan memperoleh pentauliahan melalui Pusat Latihan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), KIAS Skills Development Centre (KIASDEC) serta jaringan kerjasama pondok dan tahfiz yang mematuhi sepenuhnya Code of Practice for TVET Programme Accreditation (COPTPA),” katanya.
Antara program kemahiran yang menerima pentauliahan termasuk Program Operasi Pengeluaran Tanaman yang melibatkan beberapa institusi seperti Pusat Latihan Pertanian Al-Falah (KPKB), Huffaz Agro Farm, Maahad Tahfiz Darul Ulum, Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan, Maahad Muhammadi Gua Musang, Pondok Pengajian Islam serta Pondok Ar-Rahmaniah Darul Quran.
Selain itu, Program Pengendalian Tanaman Cendawan (Tanah Rendah) turut ditauliahkan kepada Pusat Latihan Pertanian Al-Falah (KPKB) dan Pondok Dakwah Islamiyyah Sri Permai, manakala Program Pengoperasian Masjid serta Pengajaran Tahfiz dilaksanakan melalui Pusat Pembangunan KIAS dengan kerjasama rakan strategik berkaitan.
Sijil pentauliahan berkenaan disampaikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Mamat, dengan diiringi Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Mengulas lanjut, Dr. Kamaruzaman berkata, model ADI yang dilaksanakan merupakan pendekatan latihan berasaskan industri dengan nisbah antara 70 hingga 80 peratus pembelajaran di tempat kerja, manakala selebihnya dijalankan di institusi latihan.
Menurutnya, pendekatan tersebut memberi pendedahan awal kepada pelatih terhadap suasana pekerjaan sebenar selain membantu mengurangkan ketidaksepadanan kemahiran serta membentuk disiplin profesional dalam kalangan peserta.
“Sehingga kini, sebanyak 2,578,043 Sijil Kemahiran Malaysia telah dikeluarkan oleh JPK, membuktikan komitmen berterusan negara dalam memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi,” katanya.
Beliau menegaskan, TVET kini berada pada landasan penting sebagai pemangkin utama dalam menjayakan aspirasi negara menjelang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), khususnya dengan penekanan kepada sektor berimpak dan bernilai tinggi.
Katanya, latihan kemahiran di Kelantan perlu bergerak seiring perkembangan semasa yang menuntut penguasaan teknologi tinggi, pendigitalan serta ekonomi hijau, termasuk dalam bidang automasi, penyelenggaraan infrastruktur rel seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pengurusan logistik moden di pelabuhan Tok Bali.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pendekatan ‘industry-led’ akan terus diperkukuh dengan memberi lebih ruang kepada pihak industri menentukan kurikulum latihan menerusi National Occupational Skills Standards (NOSS) bagi memastikan sistem latihan kekal relevan dan responsif terhadap keperluan industri.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L