NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menzahirkan rasa bangga apabila sekolah angkatnya, Sekolah Menengah Agama Nilai (SMAN), dinobatkan sebagai Sekolah Agama Terbaik Negeri Sembilan (keseluruhan) dan kategori Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) / Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) terbaik di Malaysia dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.04.
Selain itu, SMAN juga tersenarai antara sekolah agama terbaik di peringkat kebangsaan bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025, sekali gus mengangkat kecemerlangan institusi pendidikan agama di negeri ini.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihak sekolah dalam memastikan kecemerlangan pelajar secara menyeluruh meliputi aspek akademik, sahsiah dan pembangunan kepimpinan selaras dengan aspirasi pendidikan Islam yang holistik dan bersepadu.
Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts Dr. Sharifudin Md. Shaarani berkata, kejayaan dicapai SMAN turut memperlihatkan keberkesanan kerjasama strategik antara universiti dan sekolah melalui inisiatif Sekolah Angkat USIM, yang memberi penekanan kepada pemerkasaan ekosistem pendidikan dan pembangunan kapasiti warga sekolah.
Dalam satu majlis ringkas di SMAN pada pagi semalam, beliau telah menyampaikan watikah penghargaan kepada pihak SMAN dengan diwakili Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri USIM, Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi yang diterima oleh Pengetuanya, Mohammad Noh Sujud.
Menurut beliau, USIM amat berbangga dengan pencapaian itu kerana membuktikan sinergi antara universiti dan institusi pendidikan sekolah mampu memberi impak signifikan kepada kecemerlangan pendidikan serta pembangunan generasi masa depan yang berdaya saing dan berakhlak mulia.
Kerjasama itu merangkumi menaiktaraf pembangunan infra dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran, program bimbingan akademik, pemindahan ilmu oleh ahli akademik serta pentadbir universiti dan pelaksanaan pelbagai program pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar.
Melalui program Sekolah Angkat, USIM turut melaksanakan pelbagai inisiatif intervensi pendidikan termasuk bimbingan akademik, program motivasi pelajar, perkongsian kepakaran dalam kalangan kakitangan akademik dan pentadbiran universiti serta aktiviti pemerkasaan kepimpinan pelajar.

Kejayaan ini bukan sahaja memperkukuhkan reputasi Sekolah Menengah Agama Nilai sebagai institusi pendidikan agama yang cemerlang, malah menonjolkan peranan Universiti Sains Islam Malaysia sebagai rakan strategik dalam memperkasa kualiti pendidikan menengah melalui pendekatan libatsama komuniti yang berimpak tinggi.
USIM komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan dan pelbagai sektor melalui inisiatif libatsama komuniti dan jaringan industri, selaras dengan aspirasi universiti untuk menyumbang secara signifikan kepada pembangunan pendidikan, masyarakat dan negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L