LISBON – Bekas pemain sayap Portugal, Ricardo Quaresma percaya rakan sepasukan mahu membantu Cristiano Ronaldo menjulang trofi Piala Dunia FIFA buat kali pertama dalam kariernya.
Ronaldo, 41, yang sudah memenangi lima Ballon d’Or, dijangka beraksi dalam kejohanan itu buat kali keenam – satu rekod baharu – dan bertekad menamatkan kariernya dengan gelaran paling berprestij bola sepak dunia, sekali gus menyaingi pencapaian Lionel Messi.
Dengan 226 penampilan antarabangsa dan 143 gol, Ronaldo sebelum ini membantu Portugal menjuarai Kejohanan Eropah 2016 serta dua kali memenangi Liga Negara-Negara UEFA.
Namun, beliau kini sedang menjalani pemulihan daripada kecederaan yang menyaksikannya tidak disenaraikan dalam skuad terkini kendalian Roberto Martinez.
Jika kembali cergas, Ronaldo dijangka terus memimpin Portugal pada kejohanan besar itu, dengan skuad yang turut dibarisi pemain berkualiti seperti Ruben Dias, Bruno Fernandes dan Vitinha.
Quaresma berkata kehadiran Ronaldo menjadi pemangkin semangat buat pasukan.
“Mereka sudah memenangi Liga Negara-Negara, jadi saya katakan kami mempunyai keinginan lebih besar untuk menang kerana Cristiano ada dalam pasukan.
“Ia Piala Dunia terakhirnya dan semua orang mahu dia memenangi trofi itu. Harapan sangat tinggi kerana kami mempunyai kualiti untuk mencapainya,” kata Quaresma.
Ronaldo sebelum ini menyaksikan seteru utamanya, Messi, menjulang trofi Piala Dunia bersama Argentina pada tahun 2022.
Bekas rakan sepasukan Ronaldo di Manchester United, Kleberson, turut percaya keinginan itu membara dalam diri bintang Portugal berkenaan.
“Dalam dirinya mungkin dia berfikir, ‘saya perlu menang Piala Dunia, saya tidak boleh menamatkan karier tanpa trofi itu’.
“Ia bukan hanya tentang dirinya, tetapi pemain lain juga. Pemain hebat mahu melengkapkan karier dengan trofi tersebut,” kata Kleberson.
Quaresma, yang membuat 80 penampilan bersama Portugal dan sebahagian daripada skuad juara Euro 2016, berharap generasi baharu mampu merealisasikan impian berkenaan.
“Kami sudah memenangi Kejohanan Eropah dan kini sasaran adalah Piala Dunia. Ia seperti pelengkap kepada segala usaha kerana itulah impian semua pemain,” katanya.
Portugal dijadual memulakan kempen Piala Dunia 2026 menentang pemenang aksi playoff antara konfederasi pada 17 Jun sebelum berdepan Uzbekistan dan Colombia di peringkat kumpulan. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L