BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam menyuarakan ancaman tersirat untuk membunuh Pemimpin Agung baharu Iran, Mojtaba Khamenei.
Namun pada masa sama, Netanyahu mengaku perang yang dilancarkan Israel bersama Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran berkemungkinan tidak akan membawa kepada kejatuhan kerajaan ulama Tehran.
Bercakap pada sidang media pertamanya sejak perang itu meletus, Netanyahu mendakwa bahawa Iran ‘kini tidak lagi sama’ selepas berdepan serangan sejak 28 Februari lalu yang menjejaskan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan pasukan separa tentera Basij.
Selain itu, Netanyahu berikrar untuk terus melancarkan serangan terhadap kumpulan Hizbullah di Lubnan yang bertindak balas terhadap Israel atas pembunuhan Pemimpin Agung Iran sebelum ini, Ayatollah Ali Khamenei.
Ketika menjawab soalan melalui pautan video, Netanyahu turut ditanya mengenai tindakan yang mungkin akan diambil Israel terhadap Mojtaba Khamenei dan pemimpin Hizbullah, Naim Qassem.
“Saya tidak berhasrat untuk memberikan laporan tepat di sini mengenai perancangan kami atau apa yang kami akan lakukan,” katanya tatkala kedengaran gema bunyi siren amaran serangan peluru berpandu dari Iran ke Israel.
Ditanya sama ada Israel membekalkan senjata kepada pembangkang Iran dan juga perihal tindakan Tel Aviv berkemungkinan akan gagal meruntuhkan Kerajaan Iran ketika ini pula, Netanyahu mendakwa bahawa Kerajaan Iran tetap akan lemah walaupun jika tidak dapat dijatuhkan.
“Saya tidak akan memperincikan tindakan yang kami sedang ambil. Kami sedang mencipta keadaan optimum untuk menggulingkannya.
“Saya tidak akan menafikan bahawa saya tidak dapat memberitahu anda dengan pasti yang rakyat Iran akan menggulingkannya – sesuatu rejim itu digulingkan dari dalam – tetapi kami pasti boleh ‘membantu’ dan kami sedang melakukannya,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Presiden AS, Donald Trump pula mendakwa bahawa Washington sedang ‘menghancurkan sama sekali rejim Iran’.
“Kita mempunyai kuasa senjata yang tiada tolok tanding, amunisi tanpa had, dan banyak masa,” katanya melalui media sosial, hari ini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L