MARANG – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang meneruskan komitmen menyantuni masyarakat menerusi penganjuran program agihan bubur lambuk sempena Ramadan bagi tahun kedua berturut-turut.
Menerusi inisiatif yang dikenali sebagai Kasih Ramadan 2026 @ 1447H, sebanyak 3,800 pek bubur lambuk disediakan dan diagihkan kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya di sekitar daerah ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sekali ganda berbanding edisi terdahulu.
Ketua Polis Daerah Marang, Superitendan Mohd Sofian Redzuan berkata, sambutan menggalakkan daripada orang ramai tahun lalu menjadi pemangkin untuk pihaknya meneruskan program berkenaan tahun ini dengan skala lebih besar.

Menurut beliau, penganjuran kali ini turut memperkukuh kerjasama strategik antara IPD Marang dan rakan korporat tempatan, sekali gus merapatkan hubungan dua hala antara polis dan komuniti.
“Maklum balas positif yang diterima sebelum ini memberi dorongan untuk kami meneruskan usaha ini. Sokongan padu rakan strategik dari sekitar Marang juga membolehkan program dilaksanakan dengan lebih tersusun dan memberi impak lebih luas kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis agihan di pekarangan IPD Marang.
Bubur lambuk berkenaan dimasak sendiri anggota polis dengan bantuan tenaga kerja dari rakan strategik program.
Pengurus program, Alif Azizi Sulaiman dari PSM Motors (M) Sdn. Bhd. berkata, pengurusan dan penyelarasan yang lebih teratur tahun ini membolehkan proses penyediaan berjalan lancar walaupun jumlah agihan meningkat.

“Kami mulakan gotong-royong memasak seawal pagi. Cabarannya lebih besar berbanding tahun lalu kerana kuantiti perlu digandakan, namun dengan perancangan rapi dan komitmen semua pihak, bubur dapat disiapkan mengikut jadual untuk diedarkan kepada orang ramai menjelang tengah hari,” ujarnya.
Program tersebut turut mendapat sokongan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Bank Rakyat Cawangan Marang serta Liberty Insurance yang berganding bahu menjayakan penganjuran tahun kedua inisiatif berkenaan.
Penganjuran Kasih Ramadan bukan sahaja usaha kebajikan sempena bulan mulia, malah menjadi platform memperkukuh hubungan antara pasukan keselamatan dan masyarakat setempat dalam suasana harmoni serta penuh muafakat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001