KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin Parti Bersatu memecat 17 ahlinya setakat semalam, termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dalam tindakan yang disifatkan sebagai langkah disiplin paling tegas pernah diambil parti itu.
Antara yang disahkan dipecat ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi.
“Betullah tu,” katanya ringkas, merujuk kepada penularan notis makluman bertarikh semalam yang dikemukakan kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Seri Mohd Radzi Manan.
Selain Wan Ahmad Fayhsal, turut dipecat ialah Timbalan Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; serta Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan.
Tindakan itu turut melibatkan dua ADUN iaitu Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik, Perak) dan Mohd Yadzil Yaakub (Bemban, Melaka) yang juga Ketua Pembangkang Melaka.
Dalam perkembangan sama, sembilan Ketua Bahagian Bersatu turut dikenakan tindakan pemecatan ialah Mohd Hassuandi Hamzah (Larut); Yunus Nurdin (Libaran); Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun); Ahmad Nasir Mid (Selayang); Ahmad Ishak (Gopeng); Kamaruddin Majid (Teluk Intan); Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru); Ramlan Meon (Tangga Batu) serta Mhd. Yunus Mhd. Yusop (Tapah).
Turut dipecat ialah Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norsahar, dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.
Menurut notis yang tular, Lembaga Disiplin telah melaksanakan tugas di bawah Tatacara Pengurusan Kes Disiplin Bersatu pada 12 Februari 2026 sebelum membuat keputusan selaras dengan peruntukan Fasal 22.5 Perlembagaan parti itu. Keputusan berkenaan dikatakan dibuat selepas penelitian terhadap pelanggaran disiplin yang didakwa berlaku.
Notis itu turut memaklumkan bahawa mana-mana ahli yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat dikeluarkan.
Langkah pemecatan beramai-ramai ini dilihat berpotensi memberi kesan besar terhadap kedudukan dan kestabilan dalaman Bersatu, khususnya apabila ia melibatkan pimpinan kanan parti serta wakil rakyat di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Pemerhati politik menjangkakan perkembangan lanjut susulan tindakan drastik tersebut dalam tempoh terdekat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L