KOTA BHARU – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dilaksanakan secara adil serta seimbang antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), selaras dengan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, landskap politik semasa di kedua-dua negeri itu menyaksikan majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai BN susulan perkembangan politik sebelum ini, sekali gus menuntut pendekatan lebih saksama dalam rundingan akan datang.
Menurut beliau, sekiranya PRN Melaka dan Johor diadakan, pembahagian kerusi perlu mengambil kira kepentingan semua parti dalam kerajaan bagi memastikan keadilan dan kestabilan politik dapat dipelihara.
“Sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, rundingan kerusi mesti dilaksanakan secara adil dan saksama, bukan berdasarkan kelebihan sebelah pihak sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Amanat Tahun Baharu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Ibu Pejabat KADA di sini, hari ini.
Khalid turut menegaskan, pendekatan keutamaan kepada penyandang kerusi tidak lagi wajar dijadikan asas utama kerana berpotensi menjejaskan keadilan terhadap parti lain, khususnya dalam kalangan komponen PH.
“Jika dasar ini terus diguna pakai, ia jelas tidak adil. Amanah berharap UMNO dan BN bersedia bersikap terbuka dengan menyerahkan sebahagian kerusi yang disandang kepada rakan dalam kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya rundingan pembahagian kerusi gagal mencapai persetujuan, Amanah tidak menolak kemungkinan untuk menilai semula pendirian sama ada kekal dengan pendekatan sedia ada atau mempertimbangkan pertandingan tiga penjuru bagi menguji sokongan rakyat.
“Keputusan kami bergantung kepada pendirian UMNO dan BN. Setelah pendirian itu dinyatakan dengan jelas, barulah Amanah akan menentukan langkah seterusnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khalid menegaskan Amanah sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi PRN Melaka dan Johor sekiranya ia diadakan pada bila-bila masa.
Sementara itu, pada Sabtu lalu, media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan PRN Melaka berkemungkinan diadakan dalam tempoh dua hingga 10 bulan akan datang.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, kepimpinan UMNO negeri perlu memperkukuh gerak kerja bagi mengekalkan prestasi cemerlang selepas parti itu memenangi lebih tiga perempat kerusi DUN pada PRN lalu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L