KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui di Mahkamah Tinggi, wang berjumlah RM42 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya tiada kaitan dengan sebarang derma dari Arab Saudi, berdasarkan maklumat diketahui beliau kemudian.
Pengakuan itu dibuat ketika beliau disoal balas peguam SRC International Sdn Bhd, Kwan Will Sen dalam perbicaraan saman sivil RM42 juta yang difailkan ke atasnya oleh SRC dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn. Bhd.
Menurut Najib, pada waktu dana tersebut diterima, beliau menyangka wang berkenaan merupakan derma dari Arab Saudi, namun pemahaman itu berubah selepas memperoleh maklumat lanjut.
“Berdasarkan pengetahuan diperoleh kemudian, ya, ia tidak ada kena-mengena dengan derma Arab Saudi,” kata Najib menjawab soalan peguam.
Dalam prosiding itu, Kwan turut mendapatkan pengesahan pembelaan Najib berhubung derma Arab Saudi telah ditolak sepenuhnya di semua peringkat mahkamah dalam kes jenayah SRC International.
Najib bersetuju dengan kenyataan tersebut, namun menegaskan beliau tidak diberi peluang untuk memberikan penjelasan menyeluruh di Mahkamah Persekutuan.
Katanya, perkara itu menjadi antara alasan permohonan semakan kehakiman, di mana seorang hakim kanan menyatakan beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil.
Bagaimanapun, Najib mengakui dapatan majoriti mahkamah mengekalkan kesimpulan RM42 juta itu bukan derma dari Arab Saudi.
Beliau juga bersetuju dalam keputusan terbaharu kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mahkamah Tinggi mendapati tiada bukti dokumentari yang menyokong dakwaan pembelaannya berkaitan derma berkenaan.
Saman sivil yang difailkan pada 2021 itu antara lain menuntut pengisytiharan Najib bertanggungjawab terhadap RM42 juta tersebut, selain tuntutan ganti rugi atas dakwaan penerimaan dengan pengetahuan, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam serta penyalahgunaan kuasa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L